Wabak maut menular di Israel, 8 kematian dan hampir 5,000 kes

TEL AVIV – Israel kini berdepan dengan wabak campak yang semakin membimbangkan selepas lapan bayi disahkan meninggal dunia.
Ketika pihak berkuasa kesihatan berusaha mengekang penularan virus yang sangat mudah berjangkit itu, wabak tersebut dilaporkan telah merebak ke sembilan kawasan penempatan di seluruh negara, menurut laporan media tempatan Ibrani.
Laporan pada Ahad menyatakan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan campak di Pusat Perubatan Universiti Hadassah, Ein Kerem, selepas sepuluh hari dirawat dalam keadaan kritikal.
Kematian itu merupakan yang kelapan sejak wabak tersebut bermula pada April lalu.
Kementerian Kesihatan Israel mengesahkan bahawa kesemua lapan kanak-kanak yang maut tidak menerima suntikan vaksin campak dan berumur di bawah dua tahun setengah.
Gelombang jangkitan kali ini pada awalnya tertumpu di kawasan dengan kadar vaksinasi rendah seperti Jerusalem, Beit Shemesh dan Bnei Brak, namun kini telah merebak dengan ketara ke kawasan lain.
Data rasmi menunjukkan lebih 1,700 kes campak telah dikenal pasti, namun model statistik menganggarkan jumlah sebenar jangkitan mungkin mencecah sekitar 5,000 kes.
“Kami tahu penyakit ini kurang didiagnosis, dan terdapat beberapa ribu pesakit tambahan yang menghidapnya,” kata pakar epidemiologi Israel, Alroy-Preis.
Wabak itu meletakkan beban yang teruk ke atas sistem kesihatan Israel dengan 468 pesakit memerlukan rawatan hospital, 93 peratus daripada mereka ialah kanak-kanak. – Agensi
Ringkasan AI
- Israel berdepan wabak campak serius dengan lapan bayi meninggal
- Wabak merebak ke sembilan kawasan penempatan
- Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun meninggal akibat campak
- Kesemua kanak-kanak yang maut tidak menerima vaksin campak
- Lebih 1,700 kes campak dikenal pasti, jumlah sebenar mungkin 5,000 kes
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

