300 pemain industri halal bersidang
20 ahli panel pelbagai sektor dijemput kongsi kepakaran sempena PEH25

KIRA-KIRA 300 pemain industri halal dari seluruh negara bersidang selama dua hari dalam Persidangan Kebangsaan Eksekutif Halal 2025 (PEH25) di Bangi Avenue Convention Centre, Bangi bermula esok.
Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa berkata, PEH25 merupakan platform eksklusif yang menumpukan perbincangan isu-isu kritikal berkaitan pensijilan halal, inovasi teknologi, piawaian, tadbir urus dan hala tuju pengukuhan ekosistem halal negara.
“Persidangan ini menghimpunkan kira-kira 300 pemain industri halal terutamanya eksekutif halal dari seluruh negara untuk bertukar pandangan, menyelaras pemahaman dan mengemas kini pengetahuan terkini mengenai polisi serta standard pensijilan halal.
“PEH25 merupakan kesinambungan kepada kejayaan siri persidangan terdahulu sejak 2022 iaitu PEH22, PEH23 dan PEH24. Ia selaras dengan aspirasi negara untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam ekonomi halal,” katanya.
Jelas beliau, apa yang penting, persidangan ini membantu memartabatkan profesion eksekutif halal sebagai tonggak utama yang memastikan integriti halal dalam rangkaian bekalan produk dan perkhidmatan.
Ujarnya, persidangan kali ini mengumpulkan 20 ahli panel daripada pelbagai bidang halal termasuk pelaksana dasar, pakar teknikal, pentadbir industri dan tokoh syariah yang akan berkongsi kepakaran masing-masing.
“Antara sesi utama yang menjadi tumpuan kali ini termasuk sesi syariah yang akan disampaikan Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Ahmad Fauwaz Ali@Fadzil dan aspek inovasi teknologi yang disampaikan Pensyarah Albukhary International University, Abu Bakar Ngah.
“Selain itu, persidangan juga akan mengupas mengenai cabaran teknikal yang dihadapi pengeluar produk halal melalui sesi bersama Ketua Jabatan Halal A. Clouet Malaysia Sdn Bhd, Mohammad Hisham Talib yang memberi penekanan kepada keperluan sistem pematuhan teknikal yang lebih kukuh,” katanya.

Turut menjadi tumpuan katanya, sesi mengenai standardisasi antarabangsa yang dibentangkan Penolong Pengarah Kanan dari Jabatan Standard Malaysia, Fakhezzah Borhan.
Sementara itu, Amir Hamzah turut menegaskan komitmen Kolej UNITI Port Dickson untuk mengembangkan pendidikan halal melalui program Mobiliti dan Halal Edutourisme di bawah Kementarian Pendidikan Tinggi.
“Berbekalkan kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang pendidikan halal, Kolej UNITI Port Dickson dan UNITI Halal Centre (Uhac) bertekad menerajui Halal Edutourism dan kami sudah bersedia.
“Kami telah menggerakkan usaha ini pada PEH24 lalu seterusnya menyertai promosi di Malaysia Fair di Tokyo, World Expo di Osaka dan Seoul, Korea Selatan baru-baru ini,” katanya.
Jelasnya, program ini akan membuka peluang kepada pelajar, institusi dan pihak industri luar negara untuk mengenali sistem pensijilan halal Malaysia secara lebih mendalam termasuk melalui program lawatan industri, sesi klinikal pensijilan halal, penempatan latihan industri dan kerjasama akademik antarabangsa.
Ringkasan AI
- Kira-kira 300 pemain industri halal dari seluruh negara bersidang dalam Persidangan Kebangsaan Eksekutif Halal 2025 di Bangi PEH25 adalah platform untuk membincangkan isu pensijilan halal, inovasi teknologi, dan ekosistem halal Persidangan ini membantu memartabatkan profesion eksekutif halal dalam memastikan integriti produk dan perkhidmatan halal PEH25 menghimpunkan 20 ahli panel dari berbagai bidang untuk berkongsi kepakaran Kolej UNITI komited dalam mengembangkan pendidikan halal melalui program Mobiliti dan Halal Edutourisme
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

