Budaya inovasi tonggak reformasi SPRM – Azam Baki

PUTRAJAYA – Budaya inovasi perlu menjadi tunjang utama dalam memperkukuh kecekapan dan ketelusan perkhidmatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selaras dengan agenda reformasi perkhidmatan awam negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pembudayaan inovasi bukan sahaja mencerminkan kematangan organisasi dalam mendepani cabaran baharu, malah menjadi pemangkin utama kepada pelaksanaan Pelan Strategik SPRM dan Teras Transformasi SPRM 2026–2030.
“Hari Inovasi SPRM ini boleh menjadi pemangkin kepada gerakan pembaharuan dalam organisasi.
“Saya berharap selepas ini, penyertaan akan diperluaskan melibatkan semua SPRM negeri supaya budaya inovasi ini menjadi amalan menyeluruh,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Inovasi SPRM 2025 di Auditorium SPRM di sini pada Isnin.
Tambahnya, inovasi tidak hanya tertumpu kepada penciptaan baharu, sebaliknya turut menekankan penambahbaikan berterusan terhadap sistem dan proses sedia ada agar lebih efisien dan berimpak tinggi.
“Teknologi terkini seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan Realiti Terimbuh (AR) perlu dimanfaatkan bagi memperkukuh kecekapan serta memperluas capaian perkhidmatan SPRM ke arah yang lebih inklusif dan progresif.
“Penggunaan teknologi AI dan AR dalam projek Innovative Meeting Room mencerminkan aspirasi bahagian-bahagian serta SPRM negeri untuk mengorak langkah ke hadapan dan menyokong agenda reformasi perkhidmatan awam,” katanya.
Menurut beliau, inisiatif inovasi juga berperanan memperkukuh pelaksanaan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) dan perlu diteruskan sebagai amalan berterusan, bukan hanya semasa proses penjurian dijalankan.
Dalam pada itu, Azam turut merakamkan penghargaan kepada Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP) SPRM dan semua pihak yang menjayakan penganjuran Hari Inovasi SPRM 2025, termasuk panel juri yang komited dalam pelaksanaan penilaian.
Sebanyak 12 bilik mesyuarat daripada 21 bahagian menerima penarafan lima bintang dalam Anugerah 5 Star Rating: Innovative Meeting Room SPRM 2025, manakala Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat (BPRM) diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas Pilihan Juri.
Sementara itu, dalam sesi berasingan, beliau turut merasmikan Bilik Mesyuarat Pak Sako milik Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM yang turut menerima penarafan lima bintang, dengan menandatangani plak perasmian.
Ketua Juri Hari Inovasi SPRM 2025 disandang oleh Pengarah Strategik dan Inovasi Tentera Darat, Bahagian Inspektorat Tentera Darat (BITD), Kementerian Pertahanan Malaysia, Kolonel Ir. Ts. Dr. Ghazali Abdul Rahman.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Indera Junipah Wandi; Pengarah BKP, Mohammad Shahizan Abdullah serta pengarah-pengarah kanan SPRM.
Ringkasan AI
- Budaya inovasi penting untuk meningkatkan kecekapan dan ketelusan dalam SPRM
- Tan Sri Azam Baki menggariskan pembudayaan inovasi sebagai kunci kepada pelaksanaan Pelan Strategik SPRM dan Teras Transformasi
- Hari Inovasi SPRM diadakan untuk merangsang pembaharuan dalam organisasi
- Teknologi seperti AI dan AR digunakan untuk memperkuat kecekapan dan menjadikan perkhidmatan SPRM lebih inklusif
- Anugerah 5 Star Rating: Innovative Meeting Room SPRM 2025 diberikan kepada 12 bilik mesyuarat untuk mengiktiraf inovasi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

