Kedah mulakan inisiatif wujudkan bandar dalam taman

ALOR SETAR - Kedah memulakan inisiatif mewujudkan ‘Urban Forest’ dalam usaha menjadikan negeri ini bandar hijau dan lestari melalui konsep bandar dalam taman.
Naib Presiden I Jemaah Dato’ Negeri Kedah, Datuk Bakar Din berkata, ia bukan sahaja mewujudkan ruang hijau untuk memberi keseimbangan ekologi malah memberi keceriaan kepada penduduk bandar.
Menurutnya, inisiatif ini adalah yang pertama di Kedah dan memilih bandar Alor Setar sebagai perintis pelaksanaan projek dalam mewujudkan konsep baharu pengindahan kawasan bandar.
“Projek ini antara usaha menghijaukan kawasan bandar melalui penanaman pokok secara berterusan. Kita lancarkan Urban Forest 1 sebagai taman poket di tengah bandar Alor Setar. Ia akan menjadi model kepada projek seumpamanya di daerah lain.
“Kita berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat bekerjasama untuk memperluas konsep unik ini bagi menjadikan Kedah sebagai negeri hijau dan sejahtera,” katanya selepas majlis perasmian projek Urban Forest 1 di Dataran Medan Bandar pada Isnin.
Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff berkenan berangkat merasmikan projek Urban Forest 1 yang merupakan inisiatif di bawah Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin selaku Presiden Jemaah Dato’ Negeri Kedah.
Turut berangkat, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.
Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Bakar berkata, Urban Forest 1 merupakan permulaan kepada pelaksanaan beberapa lagi projek Urban Forest di bandar-bandar utama di seluruh negeri ini.
“Kita akan perluaskan konsep bandar dalam taman melalui pembangunan Urban Forest 2 berhampiran Istana Sepachendera sebelum ke daerah lain, sejajar dengan aspirasi menjadikan Kedah negeri hijau, sejahtera dan lestari,” ujarnya.
Tambah beliau, antara spesies pokok yang ditanam termasuk Tecoma, Pulai, Merawan Siput Jantan, Bunga Matahari serta pelbagai pokok hiasan dan renek yang sesuai dengan suasana bandar.
“Penanaman pokok Tecoma dijangka menjadi tarikan baharu kepada penduduk dan pelancong, terutama pada musim kering sekitar Januari hingga Februari apabila bunga-bunganya berkembang mewarnai bandar dengan warna putih, ungu dan merah jambu.
“Kawasan ini juga berdekatan Balai Seni, Balai Besar, Masjid Zahir dan Dataran Medan Bandar. Dengan penambahan taman dalam bandar ini, ia diharap menjadi lokasi tumpuan pelancong serta generasi muda untuk aktiviti riadah dan bergambar,” katanya.
Bakar berkata, projek tersebut mendapat sokongan penuh Sultan Kedah yang menitahkan agar program pemuliharaan alam sekitar diperkasakan dengan penglibatan semua lapisan masyarakat.
“Baginda bertitah supaya kesedaran terhadap isu alam sekitar ditingkatkan dan menjadi tanggungjawab bersama rakyat. Urban Forest ini lahir daripada saranan baginda sendiri.
“Antara misi projek ini untuk menghijaukan dan mencantikkan bandar-bandar di negeri ini. Sebelum ini telah dilancarkan Program 2 Juta pokok yang memfokus kepada program memulihkan kawasan hutan terosot dan hutan bakau yang mengalami kerosakan,” katanya.
Tambah beliau, kawasan bandar utama kelak akan dipadatkan dengan rimbunan pokok hijau, pokok bunga dan kawasan riadah untuk memberi keceriaan minda kepada penduduk.
“Ia juga antara inisiatif kita memupuk kesedaran masyarakat terhadap pemuliharaan alam sekitar. Isu alam sekitar wajar diberikan keutamaan dalam memastikan tahap alam sekitar di negeri ini sentiasa terpelihara.
“Di negara-negara maju, setiap taman perumahan mempunyai sudut yang ditanam pokok dan kekal terpelihara sehingga berusia ratusan tahun,” katanya.
Ringkasan AI
- Kedah memulakan inisiatif Urban Forest untuk menjadikan bandar hijau dan lestari
- Urban Forest 1 dilancarkan di Alor Setar sebagai model kepada projek serupa di daerah lain
- Inisiatif ini termasuk penanaman pelbagai spesies pokok untuk keseimbangan ekologi dan keceriaan penduduk
- Projek ini mendapat sokongan penuh Sultan Kedah yang menitahkan penglibatan semua lapisan masyarakat
- Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap pemuliharaan alam sekitar dan memperindah bandar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

