Tun Md Raus ketuai jawatankuasa bebas siasat isu dokumentasi pemain warisan

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif sebagai pengerusi jawatankuasa bebas bagi menyiasat isu dokumentasi membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang digantung 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Menurut FAM dalam satu kenyataan, pelantikan tersebut dibuat bagi memastikan siasatan terhadap isu berkenaan dijalankan secara adil, telus dan profesional tanpa sebarang penglibatan daripada individu dalam badan induk itu sendiri.
“Sepertimana yang diumumkan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram pada sidang media 17 Oktober lalu, satu jawatankuasa bebas akan ditubuhkan dan ia tidak akan membabitkan mana-mana individu dari FAM,” kata kenyataan itu.
Tun Md Raus memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada tahun 1976, di mana beliau memegang pelbagai jawatan penting termasuk Majistret, Presiden Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendakwa Raya dan Penasihat Undang-undang bagi negeri Melaka dan Kelantan serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.
Beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1994 dan seterusnya dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1996, kemudian dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan mencapai kemuncak kerjaya kehakimannya apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 2017.
Di peringkat antarabangsa pula, Tun Md Raus memegang peranan terbilang sebagai Presiden Persatuan Mahkamah Perlembagaan Asia dan Institusi Setaraf.
Beliau juga merupakan ahli aktif Majlis Ketua Hakim Negara ASEAN (CACJ) yang menyumbang kepada wacana dan kerjasama undang-undang serantau.
“Berdasarkan kredibiliti dan pengalaman luas beliau, FAM berharap Tun Md Raus bersama ahli jawatankuasa bebas yang akan dipilih sendiri oleh beliau dapat menjalankan proses siasatan secara teliti dan menyeluruh sebelum merumuskan hasil siasatan nanti,” kata kenyataan itu lagi.
Bulan lalu, FAM dan tujuh pemain warisan iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel telah dihukum oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
FIFA memaklumkan bahawa FAM telah mengemukakan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain-pemain terbabit untuk beraksi dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.
Susulan itu, FAM dikenakan denda sebanyak CHF 350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF 2,000 (sekitar RM10,560) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh notis keputusan dikeluarkan.
Dalam penjelasan sebelum ini, FAM menyatakan berlaku kesilapan teknikal dalam proses penghantaran dokumen melibatkan tujuh pemain berkenaan yang dilakukan oleh seorang pegawai pentadbiran.
Ringkasan AI
- PERSATUAN Bolasepak Malaysia mengumumkan pelantikan Tun Md Raus Sharif sebagai pengerusi jawatankuasa bebas menyiasat isu pemain warisan Harimau Malaya
- Pelantikan untuk memastikan siasatan adil dan profesional tanpa penglibatan individu dari FAM
- Tun Md Raus mempunyai latar belakang luas dalam perkhidmatan kehakiman sejak 1976 dan pernah menjadi Ketua Hakim Negara pada 2017
- Di peringkat antarabangsa, beliau terkenal sebagai Presiden Persatuan Mahkamah Perlembagaan Asia dan ahli aktif Majlis Ketua Hakim Negara ASEAN
- Tujuh pemain warisan Harimau Malaya dihukum oleh FIFA kerana pemalsuan dokumen, FAM dikenakan denda RM1.8 juta dan pemain digantung selama 12 bulan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
