'Saya tidak akan berhenti bantu pasukan kebangsaan' - TMJ

Tunku Ismail pada sidang akhbar di sebuah hotel di Subang Jaya. FOTO SINAR HARIAN-ROSLI TALIB
Tunku Ismail pada sidang akhbar di sebuah hotel di Subang Jaya. FOTO SINAR HARIAN-ROSLI TALIB
A
A
A

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menyeru mana-mana pemilik kelab, pegawai atau ejen yang mempunyai maklumat mengenai pemain kacukan Malaysia supaya menyalurkan maklumat tersebut kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menurut pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan pemain warisan yang layak dapat dikenal pasti dengan sah mengikut saluran yang betul.

“Mana-mana pemilik kelab atau individu dalam bola sepak Malaysia, sama ada daripada persatuan bola sepak, pemilik atau CEO, jika mereka mempunyai maklumat atau ejen yang tahu tentang mana-mana pemain kacukan Malaysia yang boleh mewakili negara, tindakan yang betul adalah menyerahkannya kepada FAM.

“FAM perlu memberikan segala butiran yang ada kepada kerajaan dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Selepas itu, JPN dan FAM akan membuat keputusan.

“Tak kisah saya atau siapa pun. Untuk membantu pasukan kebangsaan dalam setiap aspek, saya tidak akan berhenti,” titah baginda.

Sebelum ini, FAM dan tujuh pemain warisan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Antara pemain yang terlibat ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.

Susulan itu, FAM dikenakan denda kira-kira RM1.8 juta, manakala setiap pemain didenda RM10,560 serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.

Badan induk bola sepak negara itu sebelum ini menjelaskan, berlaku kesilapan teknikal oleh kakitangan dalam proses penyerahan dokumen dan menegaskan perkara tersebut dipandang serius.

Artikel Berkaitan:

FAM telah mengemukakan rayuan rasmi kepada FIFA dan keputusan dijangka diumumkan pada 30 Oktober ini.

Ringkasan AI

  • PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail meminta semua pemilik kelab and ejen yang tahu tentang pemain kacukan Malaysia untuk menyalurkan maklumat kepada FAM
  • Kerjasama penting untuk memastikan pemain warisan layak dapat dikenal pasti mengikut saluran yang betul
  • Maklumat pemain harus diserahkan kepada FAM yang kemudian akan bekerjasama dengan JPN untuk membuat keputusan
  • FAM dan tujuh pemain warisan dikenakan tindakan oleh FIFA kerana pemalsuan dokumen
  • FAM mengemukakan rayuan rasmi kepada FIFA dengan keputusan dijangka pada 30 Oktober

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!