Sokong cadangan Pakej Rangsangan Ekonomi menyeluruh kerajaan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli-ahli ekonomi menyokong rancangan kerajaan untuk mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi menyeluruh pada 30 Mac depan meskipun kekangan fiskal, dengan menyatakan pakej yang lebih besar diperlukan bagi mengekalkan kestabilan makroekonomi di tengah-tengah situasi koronavirus (Covid-19) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyatakan Majlis Keselamatan Negara juga akan memutuskan pada hari yang sama, sama ada PKP selama dua minggu yang bermula pada 18 Mac akan dilanjutkan daripada 31 Mac.

Ketua Ekonomi Juwai IQI Shan Saeed berkata, dasar fiskal pengembangan dan pelarasan dasar monetari telah menjadi sebahagian penting daripada strategi pertumbuhan ekonomi di bawah pakej rangsangan dalam tempoh sukar ketika ini.

"Dengan penggabungan dasar-dasar ini akan membantu merangsang pertumbuhan ekonomi dalam tempoh jangka pendek dan jangka panjang,” katanya kepada Bernama.

Beliau menjangka kerajaan akan terus menyokong industri yang mempunyai impak ekonomi dan makro yang kukuh, iaitu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta sektor perkhidmatan seperti logistik, teknologi dan pembuatan.

Keseluruhannya, katanya, kerajaan akan terus mengguna pakai strategi ekonomi berpaksikan rakyat dan memacu pertumbuhan bagi merangsang pertumbuhan.

"Pemboleh ubah paling penting bagi Malaysia adalah untuk mengekalkan kestabilan makroekonomi yang membawakan keyakinan dan pertumbuhan ekonomi. Buat masa ini, kestabilan makroekonomi iaitu politik, ekonomi, sosial dan prasarana sangat utuh,” katanya.

Selain daripada pakej rangsangan ekonomi, ahli-ahli ekonomi percaya kerajaan boleh menyediakan petunjuk mengenai keperluan kemungkinan pengubahsuaian Belanjawan 2020 serta menetapkan semula sasaran defisit fiskalnya kepada di atas sasaran awal 3.4 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi 2020, selepas mengambil kira perbelanjaan fiskal tambahan dan andaian harga minyak mentah global yang rendah.

Artikel Berkaitan:

"Kami percaya kerajaan akan mengumumkan pakej rangsangan fiskal yang lebih besar dan menyeluruh,” kata ahli-ahli ekonomi Affin Hwang Investment Bank Bhd dalam satu nota penyelidikan.

Mereka berkata, penggunaan isi rumah terus menjadi penerima utama daripada langkah-langkah rangsangan serta perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana dalam sektor tersebut dan industri yang terjejas oleh Covid-19.

Pakej rangsangan juga akan termasuk perbelanjaan terus oleh kerajaan bagi perbelanjaan pembangunan dan prasarana.

"Semua pakej rangsangan setakat ini, sekiranya dilaksanakan dengan efektif, akan menyokong pertumbuhan ekonomi negara,” kata ahli-ahli ekonomi itu.

Ketika ini, bank pelaburan itu mengekalkan unjurannya bagi pertumbuhan KDNK sebenar sekitar 3.3 peratus bagi 2020, yang mana paling rendah daripada unjuran rasmi antara 3.2 peratus dan 4.2 peratus daripada 4.3 peratus pada 2019, berikutan pertumbuhan lemah permintaan domestik dan eksport.

Bagaimanapun, terdapat peningkatan risiko menurun bagi unjuran pertumbuhannya yang mana penularan Covid-19 yang berlarutan bukan hanya menjejaskan sektor berkaitan pelancongan tetapi juga semua sektor ekonomi terutamanya gangguan rantaian bekalan global dalam sektor pembuatan.

Ia berkata, impak Covid-19 mungkin menjejaskan pertumbuhan KDNK sebenar negara sebanyak 2.5 – 3.0 mata peratusan pada 2020 sekiranya penularan itu berlarutan sehingga akhir Jun.

"Ini menunjukkan pertumbuhan KDNK Malaysia mungkin hanya berkembang sekitar 0.3 - 0.8 peratus bagi 2020 secara keseluruhan, daripada andaian semasa kami pada 3.3 peratus, sekiranya krisis Covid-19 berpanjangan.

"Justeru, kerajaan perlu mengambil langkah rangsangan fiskal yang lebih besar bagi melindungi dan menyokong ekonomi daripada turun mendadak,” jelas bank pelaburan itu. - Bernama