Bersatu Dungun putuskan usul minta Muhyiddin berehat, dua jawatan utama ditukar

DUNGUN – Mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Dungun memutuskan untuk mengemukakan usul agar presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin berehat daripada jawatannya selain mencadangkan pertukaran Setiausaha Agung dan Ketua Penerangan.
Ketua Bersatu Bahagian Dungun, Datuk Aziz Ismail berkata, keputusan itu dibuat hasil persetujuan bersama kepimpinan di tiga peringkat termasuk Srikandi dan Armada dalam mesyuarat bahagian yang diadakan pada 20 Oktober lalu.
Beliau menjelaskan, usul tersebut bukan dibawa secara tergesa-gesa atau bersifat penentangan, sebaliknya sebagai isyarat dan mesej jelas daripada akar umbi Dungun kepada pucuk pimpinan parti.
"Usul ini bukan dibawa dalam mana-mana jelajah, tetapi hasil keputusan rasmi mesyuarat bahagian pada 20 Oktober. Kami Dungun bersedia untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan akan membawa usul ini ke peringkat lebih tinggi.
"Sebab itulah juga kita mengadakan širi jelajah bagi menjelaskan situasi sebenar apa yang berlaku di dalam parti kepada ahli, " katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Aziz berkata, pada mesyuarat itu tiga usul telah diluluskan iaitu pertama supaya Presiden berehat, kedua pertukaran Setiausaha Agung, dan ketiga pertukaran Ketua Penerangan.
Menurut Aziz, keputusan itu diambil setelah mengambil kira beberapa faktor termasuk isu kesihatan dan perbicaraan mahkamah melibatkan Muhyiddin selain keperluan menstabilkan hubungan dengan rakan komponen, khususnya Pas.
Ketika ini jawatan Setiausaha Agung Bersatu disandang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, manakala Ketua Penerangan dipegang oleh Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
"Dalam konteks Terengganu, kita tidak mahu wujud kekecohan berhubung calon perdana menteri atau 'poster boy' daripada Bersatu.
"Kita perlu jaga hubungan dengan Pas kerana kerjasama ini penting untuk Bersatu kekal kuat di negeri ini, tanpa Pas mustahil kita akan menang walau satu kerusi di Terengganu," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa usul berkenaan bukan bertujuan melemahkan parti, sebaliknya satu langkah untuk mengembalikan keyakinan dan hala tuju asal Bersatu sebagai parti yang menolak rasuah serta penyalahgunaan kuasa.
Tambahnya, Bersatu Dungun berpandangan parti masih mempunyai potensi besar di Terengganu dengan sekurang-kurangnya lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan peluang di beberapa kawasan Parlimen jika disusun strategi dengan baik.
"Dulu kita perjuangkan Bersatu sebagai wadah bersih daripada kes mahkamah, tapi kini kita juga terpalit. Jadi, perlu ada keberanian untuk melakukan pembetulan dalaman.
"Apa yang kita putuskan dalam mesyuarat itu kita tidak akan tarik balik dan apa pun yang akan terjadi, terserah kepada kepimpinan atasan," ujarnya.
Aziz sebelum itu menyertai siri Jelajah Selamatkan Maruah Ahli dan Kepimpinan (Semarak) di Pengerang, Johor pada Ahad.
Ringkasan AI
- Bersatu Bahagian Dungun memutuskan usul agar Presiden parti berehat
- Keputusan berdasarkan persetujuan bersama kepimpinan di tiga peringkat dalam mesyuarat pada 20 Oktober
- Tiga usul diluluskan termasuk pertukaran Setiausaha Agung dan Ketua Penerangan
- Keputusan diambil memandangkan isu kesihatan dan perbicaraan mahkamah Presiden serta pentingnya hubungan dengan Pas
- Usul tersebut merupakan langkah untuk mengembalikan keyakinan dan hala tuju asal parti yang menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
