Tiada istilah VIP, semua peminjam MARA perlu bayar balik pinjaman - Asyraf Wajdi


ALOR SETAR - Majlis Amanah Rakyat (MARA) menegaskan tiada istilah orang kenamaan, selebriti termasuk VIP tidak diburu dalam isu pembayaran balik pinjaman, sama ada pinjaman pendidikan mahupun perniagaan.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, semua peminjam dianggap sama dan tertakluk kepada tindakan undang-undang sekiranya gagal melunaskan hutang dalam tempoh ditetapkan.
“Semuanya dianggap sebagai VIP. Siapa yang tak bayar hutang itu pun VIP. Tak ada istilah VIP bayar, tak VIP tak bayar,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Pemerkasaan Wanita MARA (PPW) peringkat negeri Kedah dan Perlis di sini pada Ahad.
Menurut beliau, MARA kini mengamalkan pendekatan tegas tanpa campur tangan mana-mana pihak, termasuk menolak sebarang ‘surat cinta’ memohon diberikan kelonggaran kepada peminjam.
“Dalam hal ini kita tidak melihat latar belakang mereka. Tidak ada lagi surat cinta daripada mana-mana pihak yang boleh memberikan kelonggaran berkaitan pembayaran balik pinjaman,” ujarnya.
Menurutnya lagi, perkara itu turut diberikan penekanan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang memberi kepercayaan penuh kepada MARA untuk memastikan tiada satu sen pun wang rakyat dibazirkan.
Asyraf Wajdi berkata, tindakan tegas kini diambil terhadap peminjam yang gagal membuat bayaran selama tiga bulan berturut-turut, yang mana notis mahkamah akan dihantar terus tanpa amaran tambahan.
“Kita amat fleksibel, yang penting kesediaan mereka untuk membayar balik. Jangan mereka senyap terus, lagi mereka senyap, tindakan undang-undang akan diambil,” ujarnya.
Beliau berkata, MARA kini melaksanakan penyusunan semula pengoperasian dengan menekankan disiplin kewangan dan antara aspek penting termasuk memastikan pembayaran balik pinjaman oleh peminjam sama ada sektor perniagaan mahupun pendidikan.
“Kita laksanakan pelaporan kewangan secara berkala. Pengurusan wajib memberikan laporan setiap bulan kepada majlis. Setakat ini saya berpuas hati kerana kadar pembayaran balik menunjukkan peningkatan ketara, khususnya dalam pinjaman pendidikan yang mencatatkan peratusan lebih tinggi berbanding perniagaan,” katanya.
Tambah beliau, peningkatan itu mungkin disebabkan kesedaran tinggi kalangan orang ramai bahawa setiap sen yang dibayar balik akan dimanfaatkan untuk membantu orang lain.
“Inilah yang kita tekankan untuk pastikan peminjam melaksanakan amanah untuk membayar balik hutang agar individu lain yang memerlukan (pinjaman) dapat kita bantu,” katanya.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi memaklumkan, MARA akan menganjurkan program khas ‘Peace of Mind’ minggu depan bagi memberi peluang kepada peminjam hadir berbincang tentang penstrukturan semula hutang serta kaedah terbaik untuk melunaskan bayaran.
“Walaupun masih terdapat tunggakan, keadaan kini semakin baik dan terkawal hasil disiplin kewangan serta kesedaran masyarakat yang meningkat,” jelasnya.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau memaklumkan, MARA telah menyalurkan pembiayaan kepada 336 usahawan wanita di Kedah dan Perlis sepanjang tahun ini.
“Ini antara komitmen agensi untuk memastikan setiap peruntukan yang diterima memberi impak maksimum kepada golongan sasar.
“Program Pemerkasaan Wanita MARA memberi fokus kepada usahawan wanita bagi memperkasakan mereka dalam aspek keusahawanan, ia juga sebahagian daripada ekosistem bersepadu MARA untuk membina kapasiti dan daya saing mereka,” ujarnya.
Ringkasan AI
- MARA menegaskan semua peminjam sama dan tertakluk kepada tindakan undang-undang jika gagal bayar hutang
- Tiada istilah VIP dalam pembayaran balik pinjaman, semua dianggap sama
- MARA mengamalkan pendekatan tegas tanpa campur tangan dalam isu pembayaran balik pinjaman
- Tindakan tegas diambil terhadap peminjam yang gagal membuat bayaran selama tiga bulan, akan terus dihantar notis mahkamah
- MARA mengadakan program khas 'Peace of Mind' untuk membincangkan penstrukturan semula hutang dan cara pembayaran balik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

