Gula Rahmah beri rahmat kepada rakyat

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Fuziah Salleh dan Dazma Daud (kanan) ketika pelancaran produk Gula Rahmah sempena Karnival KPDN Pahang 2025, pada Sabtu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Fuziah Salleh dan Dazma Daud (kanan) ketika pelancaran produk Gula Rahmah sempena Karnival KPDN Pahang 2025, pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Pelancaran Gula Rahmah oleh HMBE Legacy Sdn Bhd dilihat membawa banyak manfaat kepada rakyat, khususnya golongan B40 yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

Produk mampu milik itu dilancarkan sempena Karnival KPDN Pahang 2025 pada Sabtu dan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Fuziah Salleh sebagai simbol kerjasama erat antara kerajaan dan industri bagi memastikan bekalan gula dijual pada harga berpatutan.

Gula Rahmah merupakan sebahagian daripada Program Jualan Rahmah Malaysia (PJRM) di bawah KPDN yang bertujuan membantu rakyat mendapatkan barangan asas pada kadar mampu milik.

Pengerusi Eksekutif HMBE Legacy Sdn Bhd, Datuk Dazma Shah Daud berkata, HMBE sebagai syarikat kecil dan sederhana (PKS) milik penuh Bumiputera, menyokong dasar Kerajaan Madani dengan penyertaan aktif sebagai pengeluar dan pembungkus Bumiputera bagi produk berkenaan.

“Sebagai syarikat yang digerakkan oleh tenaga kerja Bumiputera dari kawasan luar bandar, HMBE menjadi contoh bagaimana usaha kerajaan memperkasa ekonomi Bumiputera diterjemahkan melalui sektor industri pengguna asas,” katanya.

DAZMA SHAH
DAZMA SHAH

Menurutnya, projek rintis Gula Rahmah HMBE turut dibiayai institusi kewangan tempatan, membolehkan syarikat memperkukuh keupayaan operasi dan logistik untuk menjayakan program ini secara mampan.

Beliau menjelaskan, pengedaran Gula Rahmah kini dilaksanakan hanya melalui PJRM luar premis yang tidak bertema dan bergerak sahaja, selaras dengan ketetapan semasa KPDN.

Artikel Berkaitan:

“Jualan secara runcit di pasar raya, kedai runcit atau outlet tetap tidak dibenarkan. Harga jualan RM2.70 sekilogram ditetapkan bagi memastikan pengguna mendapat akses kepada gula mampu milik tanpa melibatkan sebarang bentuk subsidi kerajaan,” katanya.

Katanya lagi, langkah itu membuktikan kesungguhan HMBE menyokong dasar kerajaan menstabilkan harga bahan asas negara melalui pendekatan pasaran yang bertanggungjawab.

Sementara itu, Fuziah ketika majlis pelancaran itu berkata, Gula Rahmah itu dikeluarkan oleh syarikat tempatan dan dijual di Jualan Rahmah Madani tanpa menerima sebarang insentif kerajaan.

“Setiap bulan kerajaan membelanjakan sebanyak RM42 juta bagi memastikan gula dijual pada harga RM2.85 di pasaran, namun bagi Gula Rahmah ini, ia dijual lebih murah tanpa subsidi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Dazma Shah berkata, HMBE kini berdepan cabaran kos penghantaran tinggi, khususnya ke Sabah dan Sarawak kerana tidak menerima sebarang bantuan insentif logistik kerajaan.

“Sehubungan itu, HMBE berharap kerajaan dapat memperkenalkan insentif logistik khas bagi membantu pengedaran ke Sabah dan Sarawak supaya rakyat di kedua-dua negeri itu turut menikmati manfaat Gula Rahmah,” ujarnya.

Dazma turut mencadangkan supaya penjualan Gula Rahmah dibenarkan di pasaran terbuka bagi memperluas capaian pengguna tanpa menjejaskan kawalan harga kerajaan.

“Melalui inisiatif ini, HMBE bukan pesaing kepada pengeluar utama seperti CSR dan MSM, sebaliknya menjadi pemangkin industri serta pelengkap kepada pelan regularisasi gula kerajaan,” katanya.

Menurut beliau, dengan kuota yang terhad dan dikawal sepenuhnya oleh KPDN, HMBE berfungsi sebagai stok penimbal (buffer supply) yang membantu kestabilan pasaran dan kesinambungan bekalan, terutama ketika berlaku peningkatan permintaan atau gangguan rantaian pengeluaran.

Sebagai syarikat PKS Bumiputera yang menyokong dasar kerajaan, Dazma turut menghargai sokongan berterusan daripada KPDN dalam pelaksanaan Pelan Regularisasi Pasaran Gula (Sugar Market Regularisation Plan).

“Kami berharap pertimbangan diberikan terhadap kuota AP 1 kilogram untuk kegunaan isi rumah bagi pengeluar Bumiputera supaya penyertaan dapat dilaksanakan secara terkawal dan adil.

“Selain itu, pemberian insentif logistik khas bagi memperluas edaran ke Sabah dan Sarawak serta kebenaran jualan pasaran terbuka wajar dipertimbangkan bagi memastikan akses pengguna lebih menyeluruh,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!