CIDB bangunkan tujuh makmal BIM tahun depan

KUALA LUMPUR - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan membangunkan tujuh makmal Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) di tujuh negeri pada tahun depan.
Ketua Eksekutif CIDB, Zainora Zainal berkata, makmal tersebut berperanan menyelaraskan proses pembinaan, meningkatkan kecekapan serta memberi faedah jangka panjang kepada penggiat industri.
"Sekarang kita sudah mempunyai lima makmal BIM termasuk di Kuala Lumpur, Kedah, Johor, Sabah dan Sarawak. Tahun depan akan dibuka di Perlis, Kulim, Perak, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Melaka.
"Kami sedang giat menambah makmal ini di seluruh negara bagi memudahkan golongan kontraktor, perunding termasuk ahli akademik serta pelajar meningkatkan pengetahuan dan kemahiran berkenaan BIM," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian CIDB-CIOB Youth Arena Convention Malaysia 2025 di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, makmal BIM membantu industri pembinaan menghasilkan pelan pembangunan projek menggunakan model tiga dimensi (3D), sekali gus menangani isu kelewatan projek melalui perubahan proses kerja serta penggunaan teknologi.
Malah katanya, penggunaan BIM mampu mengelakkan kesilapan semasa pembinaan dengan mengenal pasti masalah yang dihadapi pada peringkat awal.
"Selain itu, ia boleh memberi keberkesanan untuk penyelenggaraan aset, pembinaan aset, mengurangkan kesilapan pembinaan dan seterusnya mengurangkan kos sesuatu projek.
"CIDB juga tawarkan kadar sewa kompetitif bagi penggunaan infrastruktur di BIM supaya kontraktor kecil boleh merancang projek pembinaan dengan lebih cekap dan berkesan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

