X

Kindly register in order to view this article
!

Jabatan Kesihatan mohon maaf kekeliruan SOP urus jenazah Covid-19

Dr Zaini Hussin
A
A

KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan memohon maaf di atas kekeliruan yang timbul melibatkan isu standard operasi prosedur (SOP) pengebumian jenazah pesakit koronavirus (Covid-19) di Rantau Panjang yang tular di media sosial sejak semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) bersetuju supaya pengurusan jenazah mangsa Covid-19 menggunapakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-107.

Katanya, ia melibatkan Hukum Pengurusan Jenazah Orang Islam yang disyaki atau disahkan dijangkiti Virus Ebola (Ebola Virus Diseases: EVD) di Malaysia dan pandangan tersebut telah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan telah merujuk Garis Panduan Pengurusan Covid-19 di Malaysia Edisi 4/2020.

“Antara garis panduan yang dinyatakan ialah disyorkan jenazah yang disyaki Covid-19 (selepas pemeriksaan fizikal dan prosedur persampelan tidak invasif selepas kematian) hendaklah dilupuskan (ditanam atau dibakar) secepat yang mungkin.

“Mencuci mayat adalah tidak disyorkan. Walau bagaimanapun bagi jenazah Muslim, proses persediaan jenazah seperti memandikan dan mengkafankan mesti dilakukan di dalam bilik bedah siasat khas oleh kakitangan perubatan setelah selesai pemeriksaan fizikal.

“Proses pengawetan hendaklah dielakkan. Jenazah hendaklah dimasukkan ke dalam 'bodybag' dan dimeterai. Aktiviti ini hendaklah dilakukan di bawah pengawasan Inspektor Kesihatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penyerahan mayat kepada pihak yang menuntut perlu dilakukan dengan langkah ketat di bawah pengawasan Inspektor Kesihatan.

“Ahli keluarga dilarang daripada membuka 'bodybag' yang dimeteraikan dan Inspektor Kesihatan perlu memastikan bahawa langkah berjaga-jaga itu dipatuhi dengan tegas.

“Akhir sekali semua jenazah yang disyaki Covid-19 disyorkan untuk dilakukan pengebumian atau pembakaran mayat oleh pihak yang menuntut dengan segera, iaitu sebaik-baiknya pada hari yang sama dengan pemeriksaan/bedah siasat dilakukan,” katanya.

Berdasarkan kedua-dua garis panduan tersebut, Zaini berkata, segala aktiviti semasa proses pengebumian perlu dilakukan di bawah pengawasan anggota kesihatan.

Kedua-dua garis panduan itu bagaimanapun tidak dinyatakan proses pengebumian perlu dilakukan oleh anggota kesihatan.

“Bagi mengelakkan kekeliruan dalam pengurusan jenazah Covid-19, pihak JKN Kelantan akan terus membuat penambahbaikan dan meningkatkan tahap pemahaman masyarakat dan pihak berwajib yang berkaitan dari masa ke semasa,” katanya.

Sebelum ini tular di laman-laman sosial mengenai isu pengebumian melibatkan jenazah mangsa Covid-19 kelapan di Rantau Panjang di sini.

Isu tersebut timbul apabila proses pengebumian itu dikatakan tidak mengikut SOP yang betul.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!