Lebih 450 tokoh Yahudi desak PBB kenakan sekatan terhadap Israel

LONDON – Lebih 450 tokoh Yahudi ternama di seluruh dunia menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pemimpin global untuk mengenakan sekatan ke atas Israel berikutan tindakan negara itu yang didakwa memenuhi definisi undang-undang mengenai genosid.
Seruan itu dibuat melalui satu surat terbuka yang ditandatangani oleh bekas pegawai Israel, pemenang Oscar, intelektual dan penulis termasuk bekas Speaker Knesset Avraham Burg, penulis British Michael Rosen, pengarah filem pemenang Oscar, Jonathan Glazer; pelakon Amerika, Wallace Shawn; pemenang Emmy, Ilana Glazer dan Hannah Einbinder; penulis Kanada, Naomi Klein serta pemenang Hadiah Pulitzer, Benjamin Moser.
Mereka menuntut akauntabiliti terhadap tindakan Israel di Gaza dan Tebing Barat.
Menurut surat itu, “Kita tidak melupakan bahawa banyak undang-undang, piagam dan konvensyen yang ditubuhkan untuk melindungi nyawa manusia diwujudkan sebagai tindak balas kepada Holocaust. Perlindungan ini telah dilanggar secara berterusan oleh Israel.”
Surat tersebut juga menyeru pemimpin dunia untuk mematuhi keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa, mengelakkan penglibatan dalam pelanggaran undang-undang antarabangsa melalui penghantaran senjata serta memastikan bantuan kemanusiaan mencukupi untuk Gaza.
Dakwaan palsu mengenai antisemitisme terhadap mereka yang memperjuangkan keamanan dan keadilan juga harus ditolak, menurut penandatangan.
“Dengan penuh kesedihan, kami mengakui bahawa bukti terkumpul menunjukkan tindakan Israel akan dinilai memenuhi definisi undang-undang mengenai genosid,” tambah surat itu.
Penandatangan lain termasuk pelawak Amerika, Eric Andre; penulis dari Afrika Selatan, Damon Galgut; pemenang Anugerah Tony, Toby Marlow dan ahli falsafah Israel, Omri Boehm.
“Solidariti kami dengan rakyat Palestin bukanlah pengkhianatan terhadap Yahudi, sebaliknya ia adalah pelaksanaan ajaran Yahudi itu sendiri.
“Apabila para bijak pandai mengajar bahawa memusnahkan satu nyawa adalah memusnahkan seluruh dunia, mereka tidak membuat pengecualian untuk Palestin. Kami tidak akan berundur sehingga gencatan senjata ini membawa kepada pengakhiran pendudukan dan apartheid," menurut surat tersebut. - Agensi
Ringkasan AI
- Lebih 450 tokoh Yahudi ternama seru PBB dan pemimpin global kenakan sekatan ke atas Israel
- Mereka tuntut akauntabiliti terhadap tindakan Israel di Gaza dan Tebing Barat
- Surat itu menyatakan undang-undang, piagam dan konvensyen untuk melindungi nyawa diciptakan sebagai tindak balas kepada Holocaust telah dilanggar oleh Israel
- Menyeru pemimpin dunia mematuhi keputusan mahkamah antarabangsa dan elakkan penghantaran senjata
- Solidariti dengan rakyat Palestin dianggap sebagai pelaksanaan ajaran Yahudi, bukan pengkhianatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

