'Ibu masih tak boleh tidur dalam bilik, tengok pakaian arwah ayah'

JELI - Sudah seminggu pemergian pempengaruh media sosial, Rambo Castello namun isterinya, Asiah Abdullah masih tidak dapat tidur di dalam bilik mereka.
Malah, wanita berusia 55 tahun itu juga diberitahu tidak mampu melihat pakaian milik arwah.
Suri rumah itu terpaksa tidur beramai-ramai dengan empat orang anaknya di ruang tamu semenjak ketiadaan Ahmad Radzli Che Ngah atau lebih dikenali sebagai Cikgu Li yang menghembuskan nafas terakhirnya di Rumah Sakit Sardjito, Jogjakarta pada 17 Oktober lalu akibat serangan jantung.
Anak bongsu, Nor Fazliana Ahmad Radzli, 22, berkata, ibunya masih terkejut dengan apa yang berlaku sehingga sekarang tidak dapat melihat kandungan di media sosial yang melibatkan Rambo Castello.
"Ibu adalah 'tulang belakang' disebalik setiap kandungan ayah kerana dia yang menjadi perakam video.
"Ke mana sahaja ayah pergi untuk buat kandungan, ibu mesti ada bersama untuk merekod," katanya.
Wanita itu ditemui semasa menerima manfaat Ahli Skim Emas yang disampaikan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Ahmad Yani Muhammad sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat di rumahnya di Kampung Legeh di sini pada Jumaat.
Nor Fazliana berkata, pemergian ayahnya itu memberi kesan besar kepada ahli keluarga, biarpun reda dengan ketentuan Ilahi.
Ujarnya, Allahyarham yang sentiasa bersikap ceria semasa bersama keluarga dan masyarakat membuatkan kehilangannya sangat besar serta terkesan.
Menurutnya, peminat di media sosial juga hingga hari ini tidak putus-putus menitipkan doa kepada Allahyarham selain turut memberi kata-kata semangat kepada keluarga untuk terus tabah.
"Kami tidak akan menutup media sosial milik ayah kerana kandungan yang dibuat adalah berkaitan kehidupan selain dia juga suka mengaji al-Quran untuk dikongsikan dengan peminat," katanya.
Sementara itu menurut Wan Munadi, YGMB tampil menyegerakan penyerahan manfaat Ahli Emas bagi meringan beban keluarga Allahyarham, selain menepati janji bahawa yayasan tidak akan melupakan ahli yang ditimpa musibah.
"Pihak YGMB berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban ahli dan waris dalam menghadapi cabaran yang ditimpa musibah. YGMB terus komited untuk memberikan sokongan kepada semua ahli terutamanya yang ditimpa ujian," katanya.
Ringkasan AI
- Isteri Rambo Castello masih tidak dapat tidur di bilik mereka selepas pemergian suaminya
- Isterinya terpaksa tidur bersama empat anaknya di ruang tamu akibat terkejut dengan kematian suaminya
- Rambo Castello meninggal akibat serangan jantung di Rumah Sakit Sardjito, Jogjakarta
- Allahyarham dikenang sebagai tulang belakang dalam pembuatan kandungan media sosial bersama isterinya
- YGMB menyampaikan manfaat Ahli Skim Emas kepada keluarga Rambo Castello untuk meringankan beban mereka
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

