PGA serbu dua premis, rampas vape RM272,000

TANAH MERAH – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 3,355 unit peranti, cecair dan aksesori rokok elektronik (vape) pelbagai jenis bernilai RM272,000 selepas menyerbu dua premis yang dikesan menjalankan perniagaan tersebut tanpa lesen sah pada Khamis.
Serbuan sekitar jam 9.50 hingga 11 pagi itu dilakukan semasa penugasan Op Taring Wawasan oleh Batalion 7 bersama Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM).
Pemangku Komander Briged Tenggara, Asisten Komisioner Ijid Landu Binju berkata, hasil risikan mendapati wujud kegiatan penjualan peranti dan cecair vape secara terbuka tanpa permit sah daripada pihak berkuasa tempatan.
"Pemeriksaan terhadap dua premis itu mendapati pengusaha gagal mengemukakan sebarang dokumen perniagaan yang diiktiraf PBT (pihak berkuasa tempatan).
“Semasa serbuan, tiga lelaki tempatan berusia 21 hingga 23 tahun didapati berada di lokasi dan dipercayai bertindak sebagai penjaga premis,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.
Menurutnya, pihak berkuasa tempatan mengeluarkan kompaun serta notis sitaan melibatkan 2,622 unit peranti dan cecair vape pelbagai jenis serta 733 unit aksesori vape.
Ujarnya, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM272,000 dan telah diserahkan kepada pihak MDTM untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 3(1) Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian 2019.
Ringkasan AI
- Pasukan Gerakan Am merampas 3,355 unit peranti, cecair dan aksesori vape bernilai RM272,000 tanpa lesen sah di Tanah Merah
- Serbuan dilakukan oleh Batalion 7 bersama Majlis Daerah Tanah Merah
- Penjualan dilakukan secara terbuka tanpa permit sah dari pihak berkuasa tempatan
- Tiga lelaki tempatan berusia 21 hingga 23 tahun didapati di lokasi semasa serbuan
- Kes disiasat bawah Seksyen 3(1) Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian 2019
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

