Vape pelbagai perisa bernilai RM8.8 juta dirampas di Pasir Mas

PASIR MAS - Sebanyak 57,780 unit peranti rokok elektronik (vape) pelbagai perisa serta sebuah lori dengan anggaran nilai keseluruhan RM8.8 juta telah dirampas dalam satu serbuan di Kampung Gelang Mas di sini pada Rabu.
Dua lelaki turut ditahan dalam Op Taring Wawasan sekitar 2 petang itu ketika pemeriksaan dilakukan ke atas sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pemeriksaan ke atas lori itu membawa kepada penemuan sejumlah kotak dibalut plastik kuning mengandungi 57,780 unit peranti vape pelbagai perisa di bahagian belakang kenderaan berkenaan.

“Semakan awal mendapati semua rokok elektronik itu tidak mematuhi standard Malaysia di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Peranti Elektronik) 2022 yang mewajibkan produk memiliki sijil dan cap MS SIRIM sebelum dijual di pasaran tempatan.
“Siasatan awal juga mendapati pemandu dan kelindan lori masing-masing berusia 22 dan 40 tahun dipercayai diupah untuk menghantar rokok elektronik berkenaan,” katanya kepada pemberita pada Khamis.
Menurut beliau, semua barangan rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(2), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Peranti Elektronik) 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

