258 mangsa banjir dipindahkan di empat PPS di Kedah

ALOR SETAR – Seramai 258 mangsa banjir daripada 90 keluarga di Kedah dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di dua daerah iaitu Kulim dan Kuala Muda.
Hujan lebat berterusan melebihi empat jam menyebabkan beberapa kawasan di dua daerah itu dilanda banjir sejak jam 7 malam Khamis.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah dalam satu kenyataan berkata, di daerah Kulim, tiga PPS dibuka melibatkan Surau Taman Sang Kancil, Dewan Kampung Paya Tok Betok dan SJK (C) Khai Min yang menempatkan 206 mangsa daripada 66 keluarga setakat jam 8 pagi Jumaat
Sementara itu, di daerah Kuala Muda, satu PPS dibuka di SJK (C) Choong Cheng, menempatkan 52 mangsa daripada 24 keluarga yang terjejas akibat banjir di beberapa kawasan rendah.
Agensi penyelamat dan bantuan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tempatan turut digerakkan bagi membantu pemindahan serta penyaluran bantuan awal kepada mangsa terlibat.

Dalam pada itu, laporan paras air menunjukkan Sungai Ketil di Kampung Bongor, Baling dan Sungai Pendang di Pekan Pendang masing-masing telah melebihi tahap bahaya, manakala beberapa sungai lain seperti di Pokok Sena, Sik, Bandar Baharu, Kubang Pasu dan Langkawi berada pada tahap amaran dan waspada.
Bagaimanapun, bacaan terkini menunjukkan trend air mula menurun di kebanyakan kawasan dan tiada hujan direkodkan di stesen pemantauan pada pagi Jumaat.
Ringkasan AI
- Seramai 258 mangsa banjir daripada 90 keluarga di Kedah dipindahkan ke empat PPS di Kulim dan Kuala Muda
- Hujan lebat berterusan selama lebih empat jam menyebabkan banjir di kedua-dua daerah tersebut
- Di Kulim, tiga PPS dibuka yang menempatkan 206 mangsa daripada 66 keluarga
- Satu PPS dibuka di Kuala Muda, menempatkan 52 mangsa daripada 24 keluarga
- Pasukan penyelamat dan bantuan termasuk PDRM, APM, JKM, JBPM, dan ADUN tempatan digerakkan untuk membantu mangsa banjir
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

