Kembalikan semula hukuman rotan, tetapi biarlah dengan hikmah

ISU hukuman rotan kembali mencuri perhatian apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis menyuarakan pandangan bahawa cadangan untuk membenarkan semula hukuman rotan di sekolah wajar dipertimbangkan, namun pelaksanaannya mesti tertakluk kepada syarat-syarat yang ketat.
Beliau berkata, isu tersebut perlu diteliti dengan berhati-hati kerana meskipun terdapat permintaan agar hukuman rotan dikembalikan, pelaksanaannya mestilah berhemah dan dilakukan dalam kawalan rapi.
Anwar berkata demikian pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh RSN Rayer (PH–Jelutong) berhubung cadangan agar guru diberikan budi bicara untuk merotan murid bagi tujuan mendisiplinkan pelajar.
Pandangan itu hadir ketika masyarakat semakin gusar dengan beberapa isu di sekolah termasuk kejadian tragis terbaharu di sebuah sekolah di Petaling Jaya apabila seorang pelajar tidak berdosa maut ditikam pelajar lain.
Kejadian seumpama itu mencetuskan persoalan sama ada hukuman sedia ada masih cukup berkesan dalam mengekang gejala tersebut.
Dalam konteks ini, cadangan mengembalikan rotan dilihat sebagai usaha untuk memulihkan semangat disiplin di sekolah, asalkan ia dilaksanakan dengan cermat, beretika dan tidak disalahgunakan.
Hakikatnya, hukuman rotan bukan perkara baharu dalam sistem pendidikan negara.
Dahulu, ia dianggap sebahagian daripada kaedah teguran berhemah dan ramai generasi lama mengakui pernah dirotan, namun tidak menyimpan dendam, malah menjadikannya pengajaran.
Bezanya kini, masyarakat lebih peka terhadap isu hak kanak-kanak dan penderaan, menyebabkan sebarang bentuk hukuman fizikal mudah disalah tafsir jika tiada garis panduan jelas.
Justeru, penekanan Perdana Menteri terhadap syarat ketat dan kawalan rapi amat bertepatan dengan realiti semasa.
Jika hukuman rotan mahu diperkenalkan semula, pelaksanaannya tidak boleh terburu-buru dan perlu berlandaskan undang-undang serta etika pendidikan yang kukuh.
Antaranya termasuk garis panduan tentang jenis kesalahan yang layak dirotan, siapa yang dibenarkan melaksanakannya, had bilangan sebatan serta mekanisme pemantauan oleh pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan.
Langkah ini bukan sahaja memastikan ketelusan, malah dapat mengelakkan penyalahgunaan kuasa.
Realitinya, cabaran disiplin pelajar hari ini turut dipengaruhi faktor luaran seperti tekanan keluarga, pengaruh media sosial dan perubahan nilai masyarakat.
Antara kasih dan tegas, di situlah letaknya dilema mendidik anak zaman ini.
Bagaimanapun, dengan garis panduan yang jelas dan pemantauan berkesan, hukuman rotan boleh dipertimbangkan semula sebagai salah satu instrumen mendidik dan bukan untuk menghukum, tetapi untuk membentuk.
Apa jua tindakan yang diambil, prinsip utamanya mesti kekal mendidik dengan kasih, menegur dengan hikmah.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan bahawa cadangan hukuman rotan di sekolah wajar dipertimbangkan dengan syarat ketat
- Pelaksanaan hukuman rotan harus berhemah dan dalam kawalan rapi untuk menghindari penyalahgunaan
- Cadangan ini timbul disebabkan kegusaran terhadap isu disiplin di sekolah yang semakin meruncing
- Hukuman rotan bukan baru dalam sistem pendidikan negara dan pernah dianggap sebagai kaedah teguran berhemah
- Perlunya pelaksanaan hukuman rotan berlandaskan undang-undang dan etika pendidikan yang kukuh dengan garis panduan dan mekanisme pemantauan yang jelas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

