Ramai tertipu beli lot sarang kelulut

Absah (depan, dua kiri) bersama sembilan mangsa lain membuat laporan di Balai Polis Seksyen 15 hari ini.
Absah (depan, dua kiri) bersama sembilan mangsa lain membuat laporan di Balai Polis Seksyen 15 hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Lebih 450 individu di Selangor didakwa menjadi mangsa penipuan pembelian sarang kelulut membabitkan kerugian mencecah jutaan ringgit.

Aktiviti penipuan itu didalangi lelaki yang merupakan pegawai eksekutif di sebuah syarikat mengusahakan sarang kelulut di Gemas, Johor.

Terbaharu, seramai 10 lagi individu tampil membuat laporan di Balai Polis Seksyen 15, di sini, selepas gagal menemui jalan penyelesaian.

Absah Ahmad, 68 yang merupakan pesara kerajaan memberitahu, beliau dan rakan-rakannya menyedari mereka ditipu selepas tidak mendapat pulangan modal seperti dijanjikan.

Menurutnya, menerusi syarikat tersebut, mereka boleh membeli lot sarang kelulut dengan harga RM1, 200 bagi satu lot.

Katanya, syarikat terbabit menjanjikan setiap bulan pembeli akan menerima RM500 bagi setiap lot yang dibeli.

Kebanyakan mangsa katanya, membeli lebih daripada 10 lot dan ada juga yang membeli sehingga 100 lot.

"Saya dan mangsa lain yang membeli lot sarang kelulut ini rata-ratanya adalah golongan tua, yang dah bersara dan ada yang sakit.

Artikel Berkaitan:

"Kita fikir dengan buat pelaburan begini boleh dapat wang dengan mudah dan ringankan beban tapi tak sangka jadi begini, "katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, mengikut tempoh perjanjian, mereka akan menerima pulangan dalam tempoh dua tahun dan selepas itu, terpulang sama ada mahu mengambil lot sarang kelulut untuk diusahakan sendiri atau mengambil semula modal dilaburkan.

"Di Selangor ni yang saya maklum hampir 450 orang yang tertipu dengan pelaburan sama, malah saya dapat tahu ramai juga mangsa dari negeri lain yang turut diperdaya dengan modus operandi yang sama oleh syarikat sama," katanya.

Sementara itu, ibu tunggal, Maimunah Mahfodz, 58, yang juga penghidap kanser usus tahap empat berkata, dia sendiri sebelum ini menaruh harapan tinggi menerusi pelaburan yang dibuat.

Menurutnya, dia membeli 10 lot sarang kelulut serta 20 lot saham kelulut pada 2016.

"Ingatkan pulangan diperoleh dapat bantu saya biayai rawatan serta perubatan mencecah RM500 sebulan tapi sampai sekarang tak dapat apa-apa.

"Hanya tiga bulan pertama saja, dapat duit dijanjikan. Lepas tu, bayaran tak ada dan pihak terbabit juga enggan bersemuka dan pulangkan semula duit dilaburkan, " katanya.

Menurutnya, dia membuat laporan polis selepas segala usaha dibuat tidak berhasil, malah pemilik syarikat terlibat bersikap lepas tangan dan enggan bertanggungjawab.

Terdahulu, lebih 300 individu di Lahad Datu, Sabah turut menjadi mangsa penipuan kes sama dan turut membuat laporan polis pada 9 Januari lalu.