China 'tenangkan' Indonesia berhubung beban hutang Projek Kereta Api Laju Whoosh

BEIJING – Kerajaan China berusaha meredakan kebimbangan yang timbul di Indonesia berhubung beban hutang dan peningkatan kos projek kereta api laju Jakarta–Bandung, Whoosh.
Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun, pada Isnin menegaskan projek itu tetap memberikan manfaat sosial dan ekonomi yang besar, meskipun menghadapi tekanan kewangan.
“Sejak beroperasi, laluan kereta api laju Jakarta–Bandung beroperasi dengan selamat, lancar dan teratur. Projek ini telah mengangkut lebih daripada 11.71 juta penumpang, dan jumlah penumpang terus meningkat secara stabil,” katanya.
Beliau menambah, Whoosh telah membuka banyak peluang pekerjaan kepada komuniti tempatan serta merangsang pertumbuhan ekonomi sepanjang koridor kereta api.
Beijing juga menegaskan kesediaannya untuk terus bekerjasama dengan Jakarta bagi memastikan operasi kereta api laju ini stabil dan berterusan.
Kenyataan ini dikeluarkan susulan pengumuman Lembaga Pengurus Pelaburan Indonesia (INA) atau Danantara bahawa kerajaan akan memutuskan penyelesaian akhir berhubung hutang projek dengan China sebelum penghujung tahun ini.
Media tempatan melaporkan Indonesia kini menghadapi tekanan kewangan kerana perlu membayar sekitar 2 trilion rupiah (RM508 juta) setahun untuk faedah pinjaman projek.
Beliau menekankan, penilaian terhadap projek Whoosh tidak seharusnya hanya berdasarkan angka kewangan.
“Apabila menilai projek ini, manfaat awam dan pulangan sosial juga perlu diambil kira, bukan semata-mata indikator ekonomi atau kewangan,”ujarnya.
Beliau menambah, kedua-dua kerajaan dan syarikat yang terlibat terus berkoordinasi rapat untuk menyokong operasi kereta api ini supaya kekal stabil dan berkualiti tinggi.
“China bersedia terus bekerjasama dengan Indonesia untuk memastikan projek ini memainkan peranan lebih besar dalam memacu pembangunan ekonomi dan sosial Indonesia serta meningkatkan keterhubungan serantau,” katanya.
Projek Whoosh, bernilai 121 trilion (RM30 billion), sebahagian besarnya dibiayai oleh China Development Bank yang menanggung kira-kira 75 peratus daripada jumlah kos pembinaan.
Projek ini menjadi simbol kerjasama besar antara Jakarta dan Beijing, namun turut menerima perhatian kerana pembengkakan kos dan beban hutang yang tinggi. Pegawai Indonesia sebelum ini mengakui projek ini mungkin mengambil masa sehingga 40 tahun untuk mencapai titik pulang modal.
Dilancarkan pada Oktober 2023, Whoosh menjadi laluan kereta api laju pertama di Asia Tenggara, menghubungkan Jakarta dan Bandung dengan masa perjalanan sekitar 40 minit. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

