Amanah cadang pendekatan berhikmah tangani isu arak dalam penerbangan negara

Isu penghidangan arak oleh pramugari Muslim di syarikat penerbangan negara perlu ditangani dengan hikmah dan keseimbangan tanpa dipolitikkan. Gambar hiasan
Isu penghidangan arak oleh pramugari Muslim di syarikat penerbangan negara perlu ditangani dengan hikmah dan keseimbangan tanpa dipolitikkan. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) menegaskan isu penghidangan arak oleh pramugari Muslim di syarikat penerbangan negara perlu ditangani dengan hikmah dan keseimbangan tanpa dipolitikkan.

Dalam kenyataan bersama, ahli-ahli Parlimen parti itu berkata, perkara tersebut mesti diselesaikan berdasarkan tuntutan agama Islam serta mengambil kira realiti operasi industri penerbangan antarabangsa dan imej Malaysia sebagai negara Islam moden berteraskan konsep Rahmatan Lil Alamin.

“Islam mengajar umatnya agar setiap urusan ditangani dengan keadilan dan kebijaksanaan. Dalam konteks industri penerbangan, penyelesaian mesti mengambil kira sensitiviti pekerja Muslim tanpa menjejaskan keharmonian dan profesionalisme syarikat penerbangan negara yang beroperasi di pelbagai destinasi dunia,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan; Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat; Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof; dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan, mewakili Ahli-Ahli Parlimen Amanah.

Mereka berkata, isu tersebut bukan semata-mata berkaitan arak, sebaliknya mencerminkan bagaimana Malaysia sebagai sebuah negara Islam menunjukkan model pengurusan beradab, inovatif dan inklusif.

Bagi memastikan keseimbangan antara prinsip Islam dan keperluan operasi, Amanah mencadangkan pelaksanaan sistem automasi 'Smart Beverage Dispenser' yang membolehkan penumpang bukan Islam menempah sendiri minuman beralkohol melalui skrin hiburan tanpa perlu pramugari Muslim menghidang secara langsung.

Arak disimpan di dalam kabinet khas berkunci dan hanya boleh diakses selepas pengesahan umur serta status penumpang dibuat.

Parti itu juga mencadangkan supaya tugas menghidang alkohol dikendalikan sepenuhnya oleh petugas bukan Muslim, selain memperkenalkan zon khas halal dalam pesawat yang menyediakan beberapa barisan tempat duduk tanpa hidangan arak untuk penumpang Muslim yang memilih suasana bebas alkohol.

Zon ini akan diuruskan sepenuhnya oleh kru Muslim.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Ahli Parlimen Amanah turut mencadangkan sistem hidangan arak secara 'opt-in', iaitu alkohol tidak lagi ditawarkan secara automatik sebaliknya hanya diberikan kepada penumpang yang membuat permintaan khas.

Parti itu menyeru semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu berkenaan sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap syarikat penerbangan negara dan kakitangannya.

“Pendekatan Islam bukan dengan menimbulkan kekeliruan dan pertikaian, tetapi dengan menawarkan penyelesaian yang praktikal, berakhlak dan berpandangan jauh,” kata mereka.

Ringkasan AI

  • Parti Amanah Negara menggesa isu penghidangan arak oleh pramugari Muslim ditangani dengan hikmah
  • Isu ini dianggap bukan hanya tentang arak tetapi cara Malaysia menunjuk model pengurusan Islam yang beradab dan inklusif
  • Amanah mencadangkan pelaksanaan sistem automasi 'Smart Beverage Dispenser' untuk penghidangan arak kepada bukan Islam
  • Cadangan juga termasuk mengendalikan tugas penghidangan alkohol sepenuhnya oleh petugas bukan Muslim dan memperkenalkan zon halal dalam pesawat
  • Ahli Parlimen Amanah menekankan pendekatan Islam dalam menyelesaikan isu harus berakhlak dan tidak mempolitikkan masalah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!