Pantai Hospital Melaka tingkat kesedaran awal mengenai kanser paru-paru

MELAKA - Pantai Hospital Melaka, dengan kerjasama Lung Cancer Network Malaysia (LCNM), baru-baru ini menganjurkan Forum Awam Kanser Paru-Paru bagi mendidik masyarakat tentang kepentingan pengesanan awal, pencegahan serta perkembangan terkini dalam rawatan penyakit ini.
Pegawai Eksekutif Pantai Hospital Melaka, Tan Yew Aik, berkata, forum berkenaan mencerminkan komitmen berterusan pihaknya terhadap pendidikan komuniti dan penjagaan kesihatan pencegahan.
“Kanser paru-paru kekal sebagai salah satu kanser yang paling lazim dan paling membawa maut di Malaysia, dengan kebanyakan kes dikesan pada peringkat lewat.
“Misi kami bukan sekadar merawat penyakit, tetapi juga memperkasa masyarakat dengan maklumat, alat dan akses kepada saringan yang mampu menyelamatkan nyawa,” katanya pada majlis tersebut.
Sementara itu, Pakar Perubatan Dalaman dan Pernafasan,Dr Muventhiran Ruthranesan, turut berkongsi bahawa kadar penyembuhan kanser paru-paru telah meningkat daripada 7 peratus pada tahun 1971 kepada 15 peratus hari ini, namun angka tersebut masih rendah.
“Perokok mempunyai 15 hingga 30 kali ganda risiko untuk menghidap atau meninggal dunia akibat kanser paru-paru berbanding bukan perokok.
“Saringan awal dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi boleh membawa kepada pengesanan lebih awal, prognosis yang lebih baik dan kadar kejayaan rawatan yang lebih tinggi,” jelas beliau.
Manakala, Pakar Radiologi Klinikal dan Muskuloskeletal, Dr Siti Hajar Binti Omar, menekankan bahawa pengesanan awal dapat meningkatkan prognosis dan kadar kelangsungan hidup dengan mengenal pasti kanser sebelum ia merebak.
Beliau turut menyorot penggunaan imbasan tomografi berkomputer dos rendah (LDCT) sebagai alat saringan yang sensitif dan menggunakan dos radiasi yang lebih rendah berbanding imbasan CT dada biasa.
“Kajian menunjukkan bahawa LDCT lebih berkesan daripada X-ray dada dalam mengesan nodul kecil dan kanser paru-paru pada peringkat awal,” katanya.

Dari sudut pembedahan, Pakar Bedah Kardiotorasik, Dr Leong Kin Seng, menjelaskan bahawa pesakit kanser paru-paru yang dikesan pada peringkat awal dan menjalani pembedahan pembuangan mempunyai kadar kelangsungan hidup lima tahun sekitar 70 peratus, berbanding kadar purata keseluruhan 30 peratus.
“Pembedahan kekal penting dalam mencapai hasil rawatan yang menyembuhkan sepenuhnya, terutamanya apabila kanser dikesan lebih awal,” katanya.
Dalam sesi terakhir, Pakar Onkologi Klinikal, Dr Eng Jie Yi, memberi gambaran tentang lanskap rawatan kanser paru-paru tahun 2025.
“Pilihan rawatan termasuk pembedahan, radioterapi, kemoterapi, terapi sasaran dan imunoterapi. Pemilihan rawatan yang sesuai memerlukan pendekatan pelbagai disiplin melibatkan pakar, pakar radiologi, pakar diet, jururawat, ahli psikologi dan paling penting — keutamaan pesakit sendiri.
“Dengan pengesanan awal, peluang untuk terus hidup jauh lebih tinggi. Kanser paru-paru kini bukan lagi hukuman mati dengan adanya rawatan moden yang canggih,” katanya.
Selain forum awam tersebut, peserta yang layak turut berpeluang menjalani pemeriksaan X-ray dada berkuasa AI yang disediakan oleh LCNM, serta imbasan CT dos rendah dan sesi rundingan secara percuma.
“Penjagaan kesihatan bukan hanya mengenai rawatan, tetapi juga pencegahan, pendidikan dan kerjasama dengan komuniti untuk memupuk kesedaran serta galakan menjalani saringan awal,” ujar Tan menutup majlis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

