Sakit bengkak susu rupanya kanser payudara

ALOR SETAR - Seorang suri rumah di sini tabah menghadapi dugaan apabila disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga sejak Februari lalu.
Nor Artiqah Ab Jalil, 36, yang juga ibu kepada empat cahaya mata, pada awalnya menyangka ia hanyalah kesan bengkak susu kerana masih menyusukan anak bongsunya yang ketika itu berusia tujuh bulan.
Namun, rasa sakit yang berpanjangan memaksanya mendapatkan rawatan di sebuah klinik kesihatan di sini.
“Bengkak itu makin lama makin besar, keras dan membimbangkan. Saya berulang-alik ke klinik untuk pemeriksaan lanjut sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
"Hasil biopsi mengesahkan saya hidap kanser, ketika itu saya rasa dunia ini gelap. Tak sangka langsung perkara macam ini boleh berlaku.
“Setiap malam saya menangis terkenangkan anak-anak. Bila mereka tanya kenapa mama menangis, saya hanya mampu senyum,” katanya semasa ditemui di rumahnya di Taman PKNK di sini pada Rabu.

Dia menerima kunjungan Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal yang hadir menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan dapur.
Nor Artiqah baru sahaja selesai menjalani enam sesi rawatan kemoterapi di Hospital Lama Alor Setar dan bersyukur bengkak di payudara kirinya mula mengecut.
Dia dijadualkan menjalani pembedahan membuang payudara kiri pada 27 Oktober ini di HSB.
“Saya sedih sebab anak bongsu masih menyusu. Tapi saya terpaksa tinggalkannya di rumah dan suami akan jaga jika saya dimasukkan ke wad.
"Suami akan ambil cuti untuk jaga anak-anak kalau saya perlu ke hospital. Anak kedua saya, Nadlin, banyak bantu urus rumah dan adik-adik walaupun masih kecil,” katanya lagi.
Suaminya, Mohamad Ridzwan Jamil, 42, merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal dan bekerja di sebuah kedai fotokopi di Jalan Putra di sini.
Pasangan itu dikurniakan empat anak iaitu Muhamad Rizqi Affan, 8, Nur Nadlin Nadhira, 6, Muhammad Rayqal Affan, 2, dan Muhammad Naufal yang berusia setahun.
Tambahnya, keluarga terdekat berada jauh di Kuantan, Pahang dan tidak dapat datang membantu.
“Rumah yang kami tinggal ini pun rumah peninggalan arwah ibu mentua yang meninggal dunia dua tahun lalu akibat kanser limfoma,” tambahnya lagi.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 007095727580 atas nama Nor Artiqah Ab Jalil.
Ringkasan AI
- Seorang suri rumah di Alor Setar disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga sejak Februari
- Pada mulanya dia menyangka bengkak di payudara adalah akibat menyusukan anak
- Nor Artiqah telah menjalani enam sesi rawatan kemoterapi dan dijadualkan menjalani pembedahan
- Suami Nor Artiqah adalah orang kurang upaya fizikal yang bekerja di kedai fotokopi
- Keluarga mereka dikurniakan empat anak dan tinggal di rumah peninggalan arwah ibu mentua
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

