Pengecualian urusan perbaharui lesen memandu sepanjang tempoh PKP

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan memberi kelonggaran dengan mengecualikan semua pemegang lesen memandu daripada keperluan memperbaharui lesen memandu masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa 25 Mac ini.

Menterinya, Datuk Seri Ir Wee Ka Siong berkata, kelonggaran itu diberikan kementerian melalui peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 66 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) susulan menyedari kesukaran orang ramai memperbaharui lesen memandu sepanjang tempoh PKP selama dua minggu bermula 18 Mac lalu.

Menurutnya, sebelum ini pemegang lesen memandu individu diminta untuk memperbaharuinya secara atas talian melalui portal mySikap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan MyEG sepanjang tempoh PKP.

"Bagaimanapun, syarat itu tidak lagi terpakai sepanjang tempoh sama susulan pengumuman terbaharu pihaknya namun dengan adanya pengecualian khas ini, para pemandu dinasihatkan membawa salinan sijil perlindungan insurans ketika memandu sepanjang tempoh PKP.

"Ini bermakna sesiapa yang mempunyai lesen memandu sudah luput masih boleh menggunakan kenderaan masing-masing dengan syarat kenderaan itu wajib memiliki perlindungan insurans yang sah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ka Siong berkata, pemegang lesen perlu memperbaharui lesen masing-masing dalam tempoh 30 hari selepas PKP diisytiharkan berakhir.

Merujuk urusan memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan bagi kenderaan perdagangan dan GDL, Ka Siong menegaskan, syarat keperluan mendapatkan kelulusan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) serta laporan kesihatan sah sebagaimana diperlukan dalam permohonan pembaharuan lesen kenderaan komersil juga turut dikecualikan sepanjang tempoh PKP.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, pemilik kenderaan perdagangan perlu memperbaharui LKM masing-masing yang tertakluk kepada keperluan dokumen kelulusan yang berkenaan dalam tempoh 30 hari selepas PKP diisytiharkan berakhir.

"Keputusan ini turut dibuat selepas Kementerian Pengangkutan mengambil inisiatif mengadakan perbincangan bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Takaful Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Paling penting, ia bertujuan memastikan perkhidmatan pembekalan barangan keperluan khususnya makanan kepada orang ramai tidak terjejas sepanjang tempoh PKP," katanya.

Ka Siong turut menjelaskan, Kementerian Pengangkutan sememangnya prihatin dengan keperluan serta keselamatan para pemandu dan pengguna jalan raya di seluruh negara.

"Sekali lagi diingatkan, seperti ketetapan undang-undang, semua pemilik kenderaan perdagangan dan pemilik kenderaan persendirian hendaklah memastikan kenderaan mereka mempunyai perlindungan insurans yang sah sepanjang tempoh PKP ini," katanya.

Berdasarkan rekod Kementerian Pengangkutan, jumlah keseluruhan pemegang lesen jenis GDL yang bakal tamat tempoh sah dari tarikh 24 Mac sehingga 31 Mac ini adalah seramai 2,753 pemandu.