Pekebun getah mengaku cabul kehormatan anak rakan

Mohd Zaib didenda RM5,000 selepas mengaku menggunakan kekerasan bagi maksud mencabul kehormatan anak rakannya.
Mohd Zaib didenda RM5,000 selepas mengaku menggunakan kekerasan bagi maksud mencabul kehormatan anak rakannya.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pekebun getah didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan menggunakan kekerasan atas maksud mencabul kehormatan anak rakannya pada Februari lalu.

Hakim, Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Zaib Zakaria, 57, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan.

Mahkamah turut mengarahkan hukuman penjara lima bulan jika tertuduh gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menggunakan kekerasan jenayah kepada mangsa perempuan berusia 14 tahun dengan maksud mencabul kehormatannya.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 11.30 malam di sebuah kedai makan di Kampung Jawa, Taman Pilah Jaya di Kuala Pilah pada 4 Februari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian mangsa seorang berada di dalam kereta ibunya di sebuah kedai makan.

Mangsa yang duduk di kerusi penumpang hadapan telah dipeluk dari belakang oleh tertuduh yang kemudian mencabulnya.

Peguam, Mohamad Zahid Ahmad yang mewakili tertuduh memohon denda minimum atas alasan anak guamnya yang telah berkahwin mempunyai empat orang anak dan menghidap penyakit tiga serangkai.

Artikel Berkaitan:

"Tertuduh baru menjalani pembedahan di kaki, selain menjaga abangnya berusia 62 tahun yang merupakan orang kurang upaya (OKU) lembam.

"Pengakuan bersalah tertuduh menunjukkan dia bertanggungjawab atas kes terhadapnya dan salah satu faktor peringanan yang perlu diambil kira mahkamah," katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi memohon hukuman setimpal mengambil kira kesalahan serius dan fakta kes bahawa mangsa seorang pelajar sekolah berusia 14 tahun.

Ringkasan AI

  • Seorang pekebun getah didenda RM5,000 kerana menggunakan kekerasan untuk mencabul kehormatan anak rakannya
  • Hukuman penjara lima bulan akan dikenakan jika gagal membayar denda
  • Kejadian berlaku di sebuah kedai makan di Kampung Jawa, Taman Pilah Jaya
  • Tertuduh mengaku bersalah dan diwakili peguam yang memohon denda minimum
  • Mangsa berusia 14 tahun dan kejadian berlaku ketika mangsa di dalam kereta ibunya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!