Warga asing diberkas cabul dua anak saudara lelaki

SUBANG JAYA – Seorang warga asing diberkas selepas disyaki mencabul dua kanak-kanak lelaki bawah umur yang merupakan anak saudaranya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, suspek ditahan pada 22 Oktober lalu bagi membantu siasatan berhubung laporan yang dibuat pada hari sama kira-kira jam 3 petang.
Menurutnya, laporan polis dibuat selepas pengadu dimaklumkan oleh salah seorang anaknya mengenai kejadian yang dipercayai berlaku pada tahun 2023 di sebuah rumah di USJ 9, Subang Jaya.
"Siasatan awal mendapati suspek yang dikenali oleh mangsa telah memujuk dua beradik itu masuk ke biliknya di tingkat atas sebelum melakukan perbuatan amang seksual fizikal terhadap mereka.
"Perbuatan itu dipercayai berlaku lebih daripada sekali," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya, kedua-dua mangsa tidak mendedahkan kejadian tersebut lebih awal kerana berasa takut dan tidak menyedari bahawa perbuatan itu merupakan satu kesalahan.
"Suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
"Polis menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memantau pergerakan serta persekitaran anak-anak bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa jenayah seksual,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-7862 7222 atau mana-mana balai polis berdekatan.
Ringkasan AI
- Warga asing diberkas kerana mencabul dua kanak-kanak lelaki bawah umur yang merupakan anak saudaranya
- Suspek ditahan pada 22 Oktober untuk membantu siasatan berhubung laporan yang dibuat pada hari yang sama
- Laporan polis dibuat setelah anak mangsa menceritakan kejadian yang berlaku di rumah USJ 9, Subang Jaya pada tahun 2023
- Suspek memujuk mangsa ke biliknya sebelum melakukan amang seksual fizikal dan dikatakan berlaku lebih dari sekali
- Suspek kini direman untuk siasatan di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

