UTK, 69 Komando antara elemen ditugaskan pada Sidang Kemuncak ASEAN - KPN

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengerahkan seramai 10,170 pegawai dan anggota, menjadikan ia antara penugasan keselamatan terbesar bagi memastikan kelancaran serta keselamatan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal berlangsung hujung minggu ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, kekuatan itu melibatkan pelbagai jabatan dan unit taktikal termasuk Cawangan Khas, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Unit Tindakhas (UTK), 69 Komando, Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Pasukan Gerakan Udara (PGU).
"Penugasan menyeluruh turut meliputi kawasan strategik seperti Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan hotel penginapan rasmi para delegasi antarabangsa.
"Semua elemen keselamatan, kawalan trafik dan koordinasi pengurusan lapangan telah dirancang dengan teliti bagi memastikan tahap kesiapsiagaan berada pada tahap optimum,” katanya pada sidang akhbar sempena persiapan dan raptai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen KLCC pada Khamis.
Mohd Khalid berkata, raptai persiapan yang bermula pagi tadi berjalan lancar dan akan diteruskan sehingga 25 Oktober ini bagi memastikan setiap aspek keselamatan diuji sepenuhnya.
“Pelaksanaan 'dry run' ini memperlihatkan keselarasan mantap antara semua agensi yang terlibat, dan saya yakin hasilnya menunjukkan kesiapsiagaan PDRM berada pada tahap amat memuaskan,” katanya.
Mohd Khalid menjelaskan, selain pengawasan fizikal, pasukan khas turut ditugaskan bagi memantau keselamatan siber, kawalan udara dan kawasan berisiko tinggi secara berterusan sepanjang sidang kemuncak berlangsung.
Dalam masa sama, beberapa laluan utama di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan laluan ke KLIA akan ditutup secara berperingkat antara 17 hingga 28 Oktober, dengan penutupan lebih ketara dijangka antara 26 hingga 28 Oktober ketika majlis rasmi berlangsung.
“Antara jalan yang terlibat ialah Jalan Ampang, Jalan Tun Razak, Jalan Sultan Ismail, Jalan P Ramlee, Jalan Pinang, Persiaran KLCC serta beberapa lebuh raya utama,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada melalui kawasan pusat bandar tanpa urusan penting, merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan.
"Masyarakat dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang, tidak menyebarkan maklumat palsu serta mengelak sebarang bentuk provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam sepanjang sidang kemuncak berlangsung.
“PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu keamanan negara. Orang ramai juga digalakkan melaporkan segera sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak polis,” katanya.
Ringkasan AI
- PDRM mengerahkan 10,170 pegawai dan anggota untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-47
- Kekuatan pasukan melibatkan pelbagai jabatan termasuk Cawangan Khas dan Unit Tindakhas
- Penugasan meliputi kawasan strategik seperti KLCC dan KLIA
- Raptai persiapan berlangsung lancar, memastikan tahap kesiapsiagaan berada pada tahap optimum
- Beberapa jalan utama di Kuala Lumpur akan ditutup secara berperingkat antara 17 hingga 28 Oktober
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
