Malaysia sedia pimpin ASEAN dengan prinsip, pertahan kepusatan serantau – Anwar

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia bersedia memimpin Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dengan prinsip dan keyakinan sekali gus terus mempertahankan kepusatan serantau, memperkukuh perdagangan bebas, keamanan serta membawa suara negara-negara selatan ke pentas dunia termasuk isu Gaza, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Malaysia konsisten dalam menuntut keadilan, keamanan berkekalan dan maruah kemanusiaan dalam isu Gaza.

Perdana Menteri berkata, sidang kemuncak kali ini bakal mencatat sejarah baharu bukan sahaja dengan kehadiran pimpinan dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, malah menandakan kebangkitan semula semangat ASEAN berpaksikan nilai kesederhanaan, solidariti dan kesejahteraan bersama.

"Sidang (Kemuncak) kali ini juga amat bersejarah kerana ASEAN akan meraikan penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11, lambang keterangkuman dan semangat kekeluargaan rantau ini yang semakin utuh," kata Anwar dalam hantaran di Facebook rasminya hari ini.

Perdana Menteri berkata dalam masa sama, Malaysia menegaskan pentingnya memperkukuh dialog dan persefahaman antara Thailand dan Kemboja dalam menangani isu-isu berbangkit selaras dengan semangat diplomasi damai dan perpaduan ASEAN.

"Kita juga kekal menyokong usaha damai di Myanmar melalui pendekatan diplomasi berprinsip dan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara demi keamanan dan kesejahteraan rakyatnya.

"Saya yakin kerjasama erat antara kerajaan dan media akan memperkukuh kefahaman rakyat terhadap peranan Malaysia sebagai negara yang memimpin dengan hikmah, berprinsip dalam pendirian dan berani memperjuangkan keadilan sejagat," katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober ini.

Lebih 30 ketua negara dan kerajaan akan berhimpun di ibu negara untuk membincangkan pelbagai isu menyentuh keamanan serantau, daya tahan ekonomi dan pertumbuhan inklusif di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan”.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 2,854 petugas media daripada 290 agensi telah mendaftar untuk membuat liputan acara bersejarah ini, yang akan turut menyaksikan kemasukan Timor-Leste sebagai negara anggota ASEAN ke-11, melambangkan perpaduan dan peluasan berterusan rantau Asia Tenggara. - Bernama

Ringkasan AI

  • Malaysia bersedia memimpin Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dengan fokus pada perdagangan bebas, keamanan, dan isu global termasuk Gaza
  • Malaysia menegaskan pentingnya keadilan, keamanan berkekalan dan maruah kemanusiaan dalam menangani isu Gaza
  • Sidang Kemuncak ASEAN kali ini bersejarah dengan penyertaan pemimpin dunia terkemuka dan menyaksikan keanggotaan rasmi Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11
  • Malaysia menekankan dialog dan persefahaman antara Thailand dan Kemboja serta menyokong usaha damai di Myanmar melalui Konsensus Lima Perkara
  • Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan diadakan di Kuala Lumpur dengan lebih 30 ketua negara dan kerajaan membahas keamanan, ekonomi, dan pertumbuhan inklusif

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!