Banjir air pasang besar, 50 mangsa dipindahkan di Tanjung Dawai

SUNGAI PETANI - Sebanyak 50 penduduk Kampung Huma, Tanjung Dawai dekat sini dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Choong Cheng akibat banjir air pasang besar, semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Amirul Asyraf Mohamad Mayidin berkata, PPS dibuka pada jam 6 petang dan mangsa terdiri daripada 23 keluarga.
Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) Kampung Sungai Pial, Ahmad Fauzi Othman ketika dihubungi berkata, hujan lebat berterusan dari pagi hingga malam tadi memburukkan lagi keadaan.
"Selain beberapa rumah dilaporkan terancam sejak beberapa bulan lepas, ada lagi yang turut terjejas akibat hakisan pantai dan keadaan lebih teruk selepas dibadai ombak semalam,” katanya.
Ahmad Fauzi berkata, penduduk berada dalam kawasan berisiko diarahkan berpindah ke PPS sejak malam tadi bagi mengelakkan perkara tidak diingini.
"Hakisan semakin teruk. Malah ada tembok baru siap juga dilimpahi air dan pagi ini, cuaca masih mendung selain hujan renyai,” katanya. - Bernama
Ringkasan AI
- 50 penduduk Kampung Huma, Tanjung Dawai dipindahkan ke PPS disebabkan banjir air pasang besar
- PPS dibuka pada 6 petang dan mangsa terdiri daripada 23 keluarga
- Hujan lebat dari pagi hingga malam memburukkan lagi keadaan
- Beberapa rumah terancam sejak beberapa bulan lepas dan situasi lebih teruk akibat hakisan pantai
- Penduduk kawasan berisiko diarahkan berpindah ke PPS untuk mengelakkan perkara tidak diingini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
