Thailand nafi warga asing ceroboh tanah hutan di Koh Pha Ngan

Kerajaan Thailand siasat dakwaan penduduk di Koh Pha Ngan. Foto Thaiger-Daily News
Kerajaan Thailand siasat dakwaan penduduk di Koh Pha Ngan. Foto Thaiger-Daily News
A
A
A

BANGKOK – Timbalan Perdana Menteri Thailand mengesahkan bahawa tiada warga asing didapati menceroboh tanah hutan di Koh Pha Ngan, sebuah pulau pelancongan popular di wilayah selatan Surat Thani.

Menurut laporan The Thaiger pada Rabu, Suchart Chomklin yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar telah mengarahkan siasatan bersama melibatkan pasukan khas kementeriannya, Jabatan Perhutanan Diraja, Jabatan Taman Negara serta Jabatan Tanah dijalankan.

Hasil siasatan, Suchart mengesahkan bahawa tiada warga asing ditemui menceroboh tanah hutan seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Namun, beliau menegaskan bahawa sebarang gangguan awam, kesalahan atau pelanggaran undang-undang oleh warga asing di pulau itu tetap akan dikenakan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang Thailand.

Terdahulu, penduduk Koh Pha Ngan menyuarakan kebimbangan bahawa pulau berkenaan semakin dikuasai oleh warga asing, khususnya dari Israel.

Mereka mendakwa warga Israel menggunakan nama rakyat tempatan sebagai proksi untuk membeli tanah berhampiran pantai, menceroboh kawasan taman negara, menebang pokok di kawasan pergunungan, menyogok pegawai kerajaan serta melakukan pembinaan haram.

Penduduk turut menuduh kumpulan warga asing tersebut membeli tanah secara tidak sah untuk dijadikan zon parti dan kawasan kediaman, terutama di komuniti Ban Sri Thanu yang kini digelar sebagai ‘Tel Aviv kedua’ oleh penduduk setempat.

Menurut laporan penduduk, kawasan tersebut menempatkan pusat Chabad dan menjadi tumpuan komuniti Yahudi. Turut terdapat beberapa syarikat milik warga Israel yang didakwa membantu membawa lebih ramai rakyatnya ke pulau berkenaan.

Penduduk juga mendakwa menemui iklan jual beli dan pembangunan tanah dalam bahasa Ibrani, yang dipercayai membabitkan kawasan hutan simpan atau tanah dilindungi.

Artikel Berkaitan:

Ini bukan kali pertama penduduk Thailand menyuarakan kebimbangan, apabila isu serupa turut timbul sebelum ini di daerah Pai, wilayah Mae Hong Son.

Ringkasan AI

  • Timbalan Perdana Menteri Thailand mengesahkan tiada warga asing menceroboh tanah hutan di Koh Pha Ngan
  • Suchart Chomklin arahkan siasatan berkenaan isu pencerobohan
  • Tiada bukti warga asing menceroboh ditemui dalam siasatan
  • Sebarang kesalahan undang-undang oleh warga asing akan ditindak
  • Penduduk Koh Pha Ngan bimbang pulau dikuasai oleh warga asing, khususnya dari Israel

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!