'Menjerit-jerit minta ubat, sebiji pun Israel tak bagi'

Dr Fauziah
Dr Fauziah
A
A
A

SHAH ALAM - Jeritan meminta ubat bergema dalam penjara, namun tiada sebiji pun ubat diberikan rejim Zionis kepada sukarelawan misi kemanusiaan menuju ke Gaza.

Itulah pengalaman yang tidak akan dilupakan aktivis kemanusiaan, Dr Fauziah Muhammad Hassan ketika ditahan tentera Israel dalam misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG) ke Gaza, baru-baru ini.

Menurutnya, sepanjang tempoh ditahan, keadaan amat memilukan apabila ubat-ubatan dan bantuan perubatan yang dibawa dirampas serta tidak dibenarkan digunakan walaupun ada aktivis yang memerlukan rawatan segera.

"Jika dahulu, tiada masalah namun sekarang Israel rampas ubat. Dalam penjara sehari, dua hari tidak mengapa, jika kena penjara lebih lama dari itu dan tanpa ubat boleh menjejaskan diri. Dinasihatkan jangan (sertai misi).

“Semasa dalam penjara, ada dalam kalangan kami yang sakit dan cedera. Rakan aktivis menjerit-jerit minta ubat dia, namun sebiji pun Israel tidak bagi, begitu zalim," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Interviu Misi Flotilla, 'Mak Online' & Apa Selepas Ini dihoskan oleh Haizir Othman yang diadakan di ibu pejabat Sinar Harian di sini pada Rabu.

Dr Fauziah (dua, kiri), Profesor Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali (dua, kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar (kanan) pada program Interviu Misi Flotilla, 'Mak Online' & Apa Selepas Ini di studio Sinar Harian pada Rabu. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SHUKOR
Dr Fauziah (dua, kiri), Profesor Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali (dua, kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar (kanan) pada program Interviu Misi Flotilla, 'Mak Online' & Apa Selepas Ini di studio Sinar Harian pada Rabu. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SHUKOR

Dr Fauziah yang juga pakar perbidanan dan sakit puan berkata, tahanan dikurung berjam-jam dalam ruang panas tanpa kipas dan diawasi tentera bersenjata lengkap.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tentera Israel turut cuba membentuk naratif palsu dengan merakam gambar dan video kononnya mereka memberi layanan baik kepada tahanan.

“Mereka datang dengan helikopter, berpakaian penuh, bersenjata lengkap. Kononnya beri air dan makanan, tapi semua itu sebenarnya milik kami sendiri. Mereka nak tunjuk kononnya tentera Israel berperikemanusiaan, tapi hakikatnya tidak,” jelasnya.

Beliau yang pernah menyertai misi Women’s Boat to Gaza pada 2016 berkata, pengalaman kali ini jauh lebih getir kerana rejim Zionis bertindak lebih agresif dan tidak berperikemanusiaan.

“Kalau dulu mereka tangkap kami wanita berumur tanpa senjata, kali ini mereka datang macam nak berperang. Namun kami tetap tenang dan berdoa agar pelayaran itu membawa makna buat rakyat Gaza,” katanya.

Misi kemanusiaan FFC x TMTG melibatkan kira-kira 150 aktivis dari 25 negara yang belayar menaiki sembilan kapal termasuk kapal Conscience dan Umm Saad, sebelum dipintas oleh tentera Zionis ketika berada kurang 120 batu nautika dari Gaza pada 8 Oktober lalu.

Lapan rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Conscience ialah Ketua Delegasi, Profesor Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali; Dr Fauziah; Dr Hafiz Sulaiman; Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi; Profesor Dr Mohd Afandi Salleh; Dr Noorhasyimah Ismail; Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.

Seorang lagi aktivis, Dr Maziah Muhammad, seorang doktor perubatan, berada di atas kapal Umm Saad.

Ringkasan AI

  • Jeritan meminta ubat dalam penjara oleh aktivis misi kemanusiaan ke Gaza tidak diendahkan oleh rejim Zionis
  • Dr Fauziah Muhammad Hassan berkongsi pengalaman pahit ditahan tentera Israel, ubat-ubatan dirampas dan tidak dibenarkan digunakan
  • Tahanan dikurung dalam ruang panas, diawasi ketat, sementara tentera Israel cuba membentuk naratif palsu tentang layanan baik
  • Pengalaman ditahan oleh rejim Zionis kali ini lebih getir dengan tindakan lebih agresif dan tidak berperikemanusiaan
  • Misi FFC x TMTG melibatkan 150 aktivis dari 25 negara, dipintas tentera Zionis ketika mendekati Gaza

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!