Kerajaan bantu 30,000 pasangan alami masalah kesuburan menerusi program BUAI

Pelaksanaan BUAI selaras dengan komitmen kerajaan memperkukuh institusi keluarga di samping menyokong hasrat negara memastikan kesejahteraan rakyat dan kelangsungan populasi penduduk terus terjamin.

Noraini (dua dari kanan) sambil diperhatikan Timbalan Naib Cancelor (Hal Ehwal Pelajar UiTM, Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi (dua dari kiri) ketika melakukan simbolik perasmian semasa Program Executive Talk di Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam pada Rabu.
Noraini (dua dari kanan) sambil diperhatikan Timbalan Naib Cancelor (Hal Ehwal Pelajar UiTM, Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi (dua dari kiri) ketika melakukan simbolik perasmian semasa Program Executive Talk di Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam pada Rabu.
A
A
A

KUALA SELANGOR – Seramai 30,000 pasangan di seluruh negara pada tahun ini bakal menerima manfaat menerusi Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BUAI) bagi menangani isu kadar kesuburan yang semakin menurun dalam kalangan rakyat Malaysia.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, program itu dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan hospital terpilih bagi membantu pasangan yang berdepan masalah mendapatkan zuriat.

“Program BUAI ini memberi manfaat kepada pasangan yang belum memiliki anak menerusi bantuan rawatan kesuburan seperti Prosedur Permanian Beradas (IUI) serta sokongan advokasi bagi menangani isu kesuburan yang semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Executive Talk di Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam pada Rabu.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada tahun lalu melaporkan kadar kelahiran di negara ini menurun kepada 1.6 anak bagi setiap wanita, manakala jangka hayat meningkat kepada 76.6 tahun.

Perubahan itu menunjukkan struktur populasi Malaysia sedang menuju ke arah negara menua menjelang 2030, apabila 15 peratus penduduk dijangka berusia 60 tahun ke atas.

Noraini berkata, pelaksanaan BUAI selaras dengan komitmen kerajaan untuk memperkukuh institusi keluarga di samping menyokong hasrat negara memastikan kesejahteraan rakyat dan kelangsungan populasi penduduk terus terjamin.

“Malaysia kini sedang berdepan transformasi demografi yang ketara kerana populasi kita sudah berubah kadar kelahiran semakin menurun, manakala jangka hayat rakyat pula semakin panjang.

“Ini memberi cabaran besar kepada sistem kesihatan, jaringan sosial dan daya tahan ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, kesihatan reproduktif dan dasar kekeluargaan menjadi teras penting untuk masa depan,” katanya.

Menurut Noraini, selain BUAI, kementerian turut memperkenalkan Program Pendidikan Kekeluargaan (PEKERTI Smart Start) serta Kelab Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Kekeluargaan (KPTI) yang memberi pendedahan kepada pelajar universiti mengenai ilmu kesihatan reproduktif dan nilai kekeluargaan.

Ringkasan AI

  • Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BUAI) akan memanfaatkan 30,000 pasangan di seluruh negara tahun ini untuk mengatasi isu kesuburan
  • Program BUAI dilaksanakan melalui kerjasama antara Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan hospital terpilih
  • BUAI menyediakan bantuan rawatan kesuburan seperti Prosedur Permanian Beradas (IUI) dan sokongan advokasi kepada pasangan tanpa anak
  • Kadar kelahiran di Malaysia menurun ke 1.6 anak per wanita, sementara jangka hayat meningkat ke 76.6 tahun
  • Pelaksanaan BUAI bertujuan memperkukuh institusi keluarga dan menyokong kesejahteraan rakyat serta kelangsungan penduduk

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!