Lebih dua tan bangkai ikan tilapia timbul di Sungai Melaka

MELAKA - Ribuan atau lebih dua tan bangkai ikan air tawar spesies tilapia dilaporkan timbul di permukaan air di Sungai Melaka berhampiran Taman Rumpun Bahagia Bachang, di sini sejak Khamis lalu.
Badan Kawal Selia Air (BKSA) Melaka menerusi kenyataan berkata, pihaknya sedang menyiasat punca kejadian itu yang menyebabkan ribuan ikan mati secara tiba-tiba.
Menurutnya, siasatan turut meliputi dakwaan bahawa kejadian itu dipercayai berpunca daripada kesan tumpahan minyak atau bau bahan kimia susulan aduan yang diterima pada malam Khamis lalu.

"Siasatan mengesan punca pencemaran sedang giat dijalankan bermula dari kawasan Batu Hampar sehingga ke kawasan perindustrian berhampiran sehingga ke bahagian hulu Sungai Melaka.
"Selain mengaktifkan operasi kecemasan kerja-kerja pembersihan sungai turut dijalankan bersama Perbadanan Pembangunan Sungai Dan Pantai Melaka (PPSPM)," katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, BKSA memandang serius insiden ini dan menyeru orang ramai yang melihat sebarang aktiviti pelepasan bahan tercemar oleh individu atau syarikat supaya segera melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Sekiranya pihak kami berjaya mengenal pasti individu atau pihak yang bertanggungjawab, tindakan undang-undang akan diambil mengikut peruntukan di bawah Enakmen Sumber Air Negeri Melaka.

"Tindakan tegas termasuk kompaun, denda atau pendakwaan boleh dikenakan atas kesalahan mencemarkan sumber air negeri," tegasnya.
Sementara itu PPSPM dalam kenyataannya berkata, seramai 30 kakitangannya dikerahkan ke lokasi awal bagi melakukan kerja-kerja pembersihan bangkai ikan air tawar itu.

Menurutnya, sehingga tengah malam semalam dilanggarkan 2,000 kilogram (kg) bangkai ikan telah dikutip dan kerja-kerja pembersihan masih diteruskan.
"Kerja pembersihan giat dijalankan memandangkan Sungai Melaka terkenal dengan perkhidmatan bot pelancongan, Melaka River Cruise (MRC),” katanya lagi.
Sebelum ini insiden serupa ini juga dilaporkan berlaku hampir setiap tahun dipercayai kerana pertembungan air masin dan air tawar di pintu air menjadi punca kepada kejadian ikan mati.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

