‘Tukar duit’ jadi helah, lelaki Iran kantoi curi RM400

Tertuduh ketika diiringi polis ke mahkamah pada Rabu.
Tertuduh ketika diiringi polis ke mahkamah pada Rabu.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki warga Iran didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri pada September lalu.

Tertuduh, Hossein Yazdanjoo, 40, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri wang RM400 milik seorang lelaki tempatan dalam kejadian di hadapan sebuah rumah di Kampung Cross Street, di sini pada 26 September lalu kira-kira jam 6.30 petang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara bagi tempoh tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shakila Dahari dan tertuduh diwakili peguam.

Mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda RM1,500 atau dipenjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian, sebuah kereta jenis Honda City berhenti dan pemandunya bertanya sama ada mangsa mahu menukar wang.

Tidak lama kemudian, tertuduh bertindak merampas wang tunai RM400 daripada mangsa sebelum melarikan diri.

Suspek kemudian berjaya dikesan oleh pihak polis selepas mangsa membuat laporan, selain rakaman dash cam di lokasi menunjukkan kenderaan digunakan berada di tempat kejadian.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, tertuduh membayar denda sebelum beredar meninggalkan mahkamah.

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki warga Iran didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di Bukit Mertajam atas pertuduhan mencuri
  • Hossein Yazdanjoo, 40, mengaku bersalah mencuri RM400 dari seorang lelaki tempatan
  • Kejadian berlaku di hadapan sebuah rumah di kampung Cross Street pada 26 September, sekitar jam 6.30 petang
  • Tertuduh boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut seksyen 379 kanun keseksaan
  • Tertuduh diperintah membayar denda RM1,500 atau dipenjara selama enam bulan jika gagal membayar denda

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!