X

Kindly register in order to view this article
!

Masyarakat beri kerjasama kekang Covid-19

Amran (kiri) bertanya sesuatu kepada pengguna jalan raya sambil diperhatikan Mohd Faizal (dua dari kanan) ketika melakukan lawatan di kawasan sekatan jalan raya di Pekan Kuala Pilah.
A
A

KUALA PILAH - Masyarakat di sekitar daerah ini memberikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Perkara itu diakui Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani bahawa masyarakat dilihat memahami segala arahan dikeluarkan dengan mengehadkan pergerakan masing-masing, penutupan sementara premis perniagaan dan sentiasa berada di rumah.

"Bagaimanapun, mereka dinasihatkan mengurus masa sebaiknya untuk membeli barang keperluan harian bersesuaian dengan penyelarasan jadual operasi premis perniagaan oleh kerajaan Negeri Sembilan baru-baru ini," katanya selepas selesai melakukan lawatan di kawasan operasi sekatan jalan raya di Pekan Kuala Pilah hari ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap.

Dalam pada itu, Amran berkata, seramai 38 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari 24 Rejimen Askar Melayu Diraja telah digerakkan untuk membantu pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan sekatan jalan raya selama 24 jam, selain Angkatan Pertahanan Awam serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) daerah turut membantu sebagai petugas di barisan hadapan.

Menurutnya, sebanyak tiga sekatan jalan raya dilaksanakan melibatkan sempadan daerah Kuala Pilah–Seremban iaitu berhampiran Ulu Bendul, di sempadan daerah Kuala Pilah–Jempol iaitu di Juasseh dan di Pekan Kuala Pilah sehingga 31 Mac ini.

Amran berkata, sekiranya tempoh perintah itu terpaksa dilanjutkan, pihaknya bersiap siaga bagi menghadapi perkara itu.

“Saya percaya, sekiranya masyarakat mengambil serius dan patuh dengan arahan pihak berkuasa, penularan wabak Covid-19 berjaya disekat tetapi jika sebaliknya, kami terpaksa meneruskan tugas ini sehingga satu arahan lain dikeluarkan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!