Pelancaran The Asia Records: Era baharu kecemerlangan di Asia

SHAH ALAM – Penubuhan The Asia Records oleh Armani Media Sdn Bhd. sebagai bukti penghargaan kepada usaha dan bakat luar biasa individu dan organisasi yang berkelayakan.
Rekod berprestij ini diwujudkan sebagai satu inisiatif untuk mengubah landskap yang bertujuan meraikan dan mengenali pencapaian luar biasa individu dan organisasi di seluruh Asia.
The Asia Records dijangka menjadi anugerah terpenting di rantau ini, dan kedua selepas The Guinness World Record.
Penubuhan anugerah peringkat Asia ini diasaskan oleh Datuk KK Chua yang telah mencurahkan segala idea dan usaha bagi merealisasikan platform ini bagi menonjolkan dan mengetengahkan pelbagai pencapaian luar biasa individu dan organisasi di seluruh Asia.
Pelancaran The Asia Records dilakukan oleh Penasihat The Asia Records iaitu Tunku Fauzi Tunku Abdul Malek pada majlis yang diadakan di Glenmarie 8 Business Park, di sini minggu lalu.
KK Chua berkata, The Asia Records direka untuk menginspirasi dan mencabar individu serta organisasi untuk mencapai kejayaan.
“Kami mahu merakamkan setiap pencapaian mereka, mempromosikan kecemerlangan serta dedikasi mereka dalam pelbagai bidang seperti seni, sukan, sains,dan khidmat masyarakat.
“Inisiatif ini tidak hanya menonjolkan bakat dan kemampuan orang Asia, tetapi juga memupuk semangat persaingan sihat dan motivasi.
"Dengan 60 peratus daripada populasi dunia berasal dari Asia, kami menyedari potensi besar yang belum diterokai dalam rantau yang dinamik ini,” katanya.

Jelas KK Chua lagi, setiap pencapaian penting layak untuk mendapat pengiktirafan sekali gus dapat dijadikan pemangkin dan semangat kepada orang lain untuk mengikut jejak kejayaan insan-insan hebat ini.
Sementara itu, Tunku Fauzi berkata, orang Asia ramai yang berjaya dan mencipta nama di peringkat dunia tetapi tanpa direkodkan, orang Asia sendiri tidak mengetahuinya dan ini amat merugikan.
“Jadi dengan adanya The Asia Records ini, kami berusaha untuk merakamkan setiap pencapaian dan kejayaan mereka di pentas dunia untuk dijadikan sebagai rujukan kepada orang lain untuk mencapai kejayaan sama atau lebih daripada itu.
“Kita patut berasa bangga kerana ramai orang Asia yang berjaya pada peringkat global dan ia perlu direkodkan agar tidak hilang begitu sahaja.
“Pengiktirafan perlu untuk melahirkan lebih ramai lagi insan yang berjaya dalam bidang masing-masing kerana ia bukan sahaja pencapaian peribadi tetapi ia membangga serta mengharumkan negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
