Kajian penyelidik UUM diiktiraf antarabangsa, kukuhkan model zakat di New Zealand

SINTOK - Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengukir nama di persada antarabangsa apabila empat penyelidiknya menerima pengiktirafan atas kejayaan melaksanakan projek penyelidikan bertaraf global berkaitan pengurusan zakat bersama National Zakat Foundation (NZF) Australia.
Projek bertajuk ‘Enhancing the Establishment of the National Zakat Foundation in New Zealand’ diketuai oleh Prof Madya Dr Farihal Osman dari Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) bersama tiga penyelidik lain iaitu Dr Amirul Faiz Osman (IBS) serta Dr Rusniza Abdul Rahman dan Dr Saidatul Nurul Hidayah Jannatun Naim Nor Ahmad dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA).
Pegawai Operasi NZF Australia, Munir Abdella berkata, dapatan kajian tersebut sangat mendalam dan bernilai tinggi, serta mampu memperkukuh operasi zakat di negara minoriti Muslim seperti New Zealand.
“Saya amat menghargai komitmen pasukan penyelidik UUM yang berjaya menyiapkan kajian ini dalam tempoh 12 bulan seperti dijanjikan. Ia bukan sahaja berwawasan, malah membuka ruang baharu dalam strategi pengurusan zakat global,” katanya pada Majlis Penutupan dan Penyerahan Laporan Akhir Projek Penyelidikan Antarabangsa di Bilik Mesyuarat FWD di IBS di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Prof Dr Idayu Mahat berkata, pengiktirafan ini membuktikan keupayaan UUM dalam memenuhi keperluan dunia terhadap penyelidikan zakat yang relevan dan berimpak tinggi.
Katanya, pengiktirafan ini membuktikan keupayaan UUM untuk memenuhi keperluan dunia dalam penyelidikan zakat.
“Model kajian ini berpotensi dijadikan rujukan oleh institusi zakat di negara minoriti Muslim. Ia juga memperkukuh jenama UUM sebagai The Eminent Management University yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Sementara itu, pembentangan dapatan kajian Saidatul Nurul Hidayah turut mencetuskan perbincangan dinamik mengenai strategi pengukuhan institusi zakat, termasuk peranan kepercayaan komuniti dan sistem pengurusan berasaskan keperluan setempat.
Amirul Faiz pula berkongsi pengalaman kutipan data di New Zealand yang membuka peluang besar untuk memahami amalan zakat dalam kalangan masyarakat Muslim di sana.
Bagi Rusniza, komuniti muslim Kiwi menunjukkan keperluan mendesak terhadap sistem zakat yang lebih sistematik dan ini membuka ruang penyelidikan baharu pada masa hadapan.
Ringkasan AI
- Empat penyelidik UUM menerima pengiktirafan antarabangsa atas projek penyelidikan zakat bersama NZF Australia
- Projek ini meningkatkan operasi zakat di negara minoriti Muslim seperti New Zealand
- Hasil kajian dianggap bernilai tinggi dan memperkukuh strategi pengurusan zakat global
- Penyelidikan ini memperlihatkan keupayaan UUM menyediakan kajian berimpak tinggi yang relevan dunia
- Model kajian berpotensi jadi rujukan bagi institusi zakat di negara minoriti Muslim dan memperkuat jenama UUM di peringkat antarabangsa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

