Covid-19: Kerajaan Sabah umum pakej rangsangan ekonomi esok

Petugas Jabatan Kesihatan Labuan membuat saringan kesihatan kepada penumpang feri Ro-Ro yang tiba di Labuan dari Menumbok, Sabah. -Foto Bernama
Petugas Jabatan Kesihatan Labuan membuat saringan kesihatan kepada penumpang feri Ro-Ro yang tiba di Labuan dari Menumbok, Sabah. -Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi esok bagi membantu rakyat yang terjejas akibat penularan koronavirus (Covid-19) di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, beliau akan mengumumkan pakej rangsangan itu selepas mesyuarat Kabinet negeri yang dijadualkan esok di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah.

“Kita tahu ramai orang yang tertunggu-tunggu bila kerajaan Sabah mengumumkan pakej rangsangan itu dan esok kita akan umumkan apa pakej yang kita ada,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Keselamatan Negeri di sini hari ini.

Pada masa yang sama, beliau berkata, bantuan kepada rakyat telah dilaksanakan oleh wakil-wakil rakyat di kawasan masing-masing.

“Saya telah mengarahkan semua wakil rakyat tanpa mengira fahaman politik untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing dan saya melihat kesemua wakil rakyat telah menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri telah membekalkan topeng muka dan cecair pembasmi kuman pada tangan kepada mereka yang bekerja sebagai barisan hadapan di negeri ini.

“Pagi tadi saya telah mengagih-agihkan topeng muka serta cecair pembasmi kuman berkenaan kepada agensi-agensi yang terlibat, termasuk polis dan tentera yang bekerja di lapangan.

“Esok kita akan menerima lagi sumbangan topeng muka serta cecair pembasmi kuman dan ia akan diagih-agihkan kepada pihak yang benar-benar memerlukan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: