Liga bola sepak sosial: Pengadil penegak maruah, semangat kesukanan

DALAM era kebangkitan sukan komuniti di seluruh negara, liga bola sepak sosial semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan umur.
Dari padang kampung hingga ke kompleks sukan bandar, pertandingan ini menjadi medan perpaduan, rekreasi sihat dan juga penjana semangat kesukanan di peringkat akar umbi.
Ada juga dalam kalangan pemilik padang sintetik yang menganjurkan liga ini secara berprestij.
Liga ini menawarkan hadiah lumayan sehingga ia menjadi daya tarikan kepada bekas pemain-pemain yang pernah mewarnai liga professional tempatan.
Namun di sebalik sorakan dan semangat kekitaan, aspek mutu pengadilan sering kali menjadi isu utama yang mempengaruhi kelancaran dan kredibiliti sesebuah liga.
Pengadilan yang lemah bukan sahaja menjejaskan keseronokan permainan, malah boleh menimbulkan salah faham dan pertelingkahan antara pasukan.
Oleh itu, memastikan pengadilan yang berkualiti dalam liga sosial adalah keperluan mendesak bagi menjamin integriti dan masa depan bola sepak tempatan.
Pertelingkahan ini kadangkala sehinga menjadi bibit permusuhan kedua-dua pasukan sekiranya pertembungan aksi berlaku pada tahun berikutnya.
Ada yang menyatakan ini adalah perlawanan “hidup mati”, sehinggakan pihak berwajib terpaksa menghantar anggota untuk mengawal sebarang kemungkinan.
Dalam konteks sukan, pengadil bukan sekadar individu yang meniup wisel atau mengeluarkan kad.
Mereka sebenarnya berperanan sebagai penjaga keadilan, pengurus suasana dan pendidik nilai kesukanan.
Setiap keputusan yang dibuat memerlukan pertimbangan profesional, berasaskan undang-undang permainan serta keadilan kepada semua pihak.
Bagi liga sosial yang melibatkan pemain daripada pelbagai latar belakang pelajar, pekerja, dan penduduk setempat kehadiran pengadil yang berwibawa amat penting untuk mengawal perlawanan dengan adil dan berhemah.
Pengadilan yang konsisten bukan sahaja mengelak konflik, tetapi turut menanam nilai hormat dan disiplin dalam kalangan pemain.
Apabila pengadil menjalankan tugas dengan integriti dan tegas, pemain akan lebih menghargai semangat kesukanan dan menerima keputusan dengan terbuka.
Ini menjadi asas kepada budaya sukan yang matang dan beretika.
Namun realitinya, mutu pengadilan dalam liga sosial di Malaysia masih belum mencapai tahap yang memuaskan.
Kebanyakan pengadil bertugas secara sambilan atau sukarela tanpa latihan formal atau pensijilan rasmi.
Kekurangan pengalaman dan pendedahan terhadap peraturan terkini menyebabkan berlakunya ketidakkonsistenan dalam membuat keputusan di padang.
Sehingga ada pengadil yang lupa melayangkan kad merah setelah pemaian menerima kad kuning kali kedua.
Tidak kurang juga pengadil yang berdepan tekanan daripada pemain dan penonton yang tidak memahami tugas sebenar mereka.
Ada yang dikritik, dipersenda, malah diherdik secara terbuka situasi yang bukan sahaja melemahkan semangat pengadil, tetapi turut menjejaskan profesionalisme sukan itu sendiri.
Sementara itu, penganjur liga sosial kadangkala kurang memberi penekanan terhadap aspek pengadilan kerana beranggapan pertandingan komuniti tidak memerlukan standard profesional.
Sikap ini perlu diperbetulkan kerana pengadilan berkualiti bukan soal status liga, tetapi soal prinsip dan keadilan dalam sukan.
Bagi memperkukuh mutu pengadilan di peringkat komuniti, langkah-langkah strategik perlu digerakkan oleh pihak berkuasa sukan seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Majlis Sukan Negara (MSN), dan Majlis Sukan Negeri serta Persatuan Sukan.
Penganjuran kursus asas pengadilan dan bengkel etika sukan perlu dipermudahkan kepada pengadil komuniti.
Ini termasuk latihan teknikal, komunikasi, dan pengurusan situasi konflik supaya mereka mampu bertugas dengan lebih yakin dan profesional. Kos Kursus Pengadilan secara keseluruhan juga perlulah berpatutan.
Peranan FAM selaku badan induk terbesar dalam Sukan Bola Sepak Malaysia boleh memperkenalkan pengiktirafan dan insentif kepada pengadil yang menunjukkan prestasi cemerlang di peringkat social.
Walaupun pemberian elaun kecil atau sijil penghargaan ini pastinya menjadi motivasi dan tanda penghormatan terhadap peranan mereka.
Tidak ketinggalan pendidikan kesukanan kepada pemain dan penonton juga amat penting.
Semua pihak perlu memahami bahawa pengadil bukan musuh, sebaliknya tonggak utama yang memastikan permainan berjalan lancar dan adil.
Menghormati keputusan pengadil merupakan tanda kematangan dalam berfikir dan beraksi.
Mutu pengadilan yang tinggi mencerminkan tamadun dan integriti sesebuah budaya sukan.
Dalam konteks pembangunan sukan negara, liga sosial yang diurus dengan baik termasuk aspek pengadilannya menjadi landasan penting kepada profesionalisasi bola sepak Malaysia.
Apabila pengadil komuniti diberi latihan, pengiktirafan, dan penghormatan sewajarnya, mereka bukan sahaja menjaga maruah permainan, malah menjadi contoh kepada generasi muda tentang nilai disiplin, ketegasan, dan keadilan.
Akhirnya, bola sepak sosial bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi wahana pendidikan sosial yang mampu melahirkan rakyat berfikiran matang, bertanggungjawab dan beretika.
Pengadilan yang berkualiti bukan sahaja memelihara semangat kesukanan, tetapi turut memperkukuh identiti sukan sebagai wadah membina masyarakat berprinsip dan berintegriti.
*Prof Madya Dr Mohd Norazwan A Bakar ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial, Universiti Selangor serta mantan Pengarah Pusat Sukan Unisel Serta Pengarah Teknikal Bola Sepak Richiamo FC
Ringkasan AI
- Liga bola sepak sosial semakin popular di Malaysia sebagai platform perpaduan dan rekreasi
- Aspek mutu pengadilan sering menjadi isu dalam kelancaran liga
- Pengadilan yang lemah boleh menimbulkan pertelingkahan antara pasukan
- Mutu pengadilan dalam liga sosial perlu ditingkatkan melalui latihan dan pensijilan
- Pendidikan dan penghormatan terhadap pengadil penting untuk memastikan permainan yang adil dan bermoral
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
