Jepun kejutkan gergasi bola sepak dunia Brazil

JEPUN mencipta sejarah tersendiri apabila menewaskan Brazil buat kali pertama selepas bangkit luar biasa pada babak kedua untuk mencatat kemenangan 3-2 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Ajinomoto, Tokyo.
Pasukan bimbingan Carlo Ancelotti terlebih dahulu berada di depan pada minit ke-26 apabila Paulo Henrique meledak gol pembukaan hasil hantaran Bruno Guimaraes dari Newcastle United.
Enam minit kemudian, Gabriel Martinelli menggandakan kelebihan Brazil apabila pemain Arsenal itu menyudahkan hantaran Lucas Paqueta dari West Ham United dengan rembatan rendah yang tepat ke penjuru gawang.
Namun, kelebihan dua gol itu lenyap selepas rehat apabila Jepun bangkit dengan semangat juang luar biasa di hadapan penyokong sendiri.
Bekas penyerang Liverpool, Takumi Minamino, membuka kebangkitan Jepun pada minit ke-61 sebelum Keito Nakamura menyamakan kedudukan beberapa minit kemudian.
Kemenangan bersejarah Jepun dimuktamadkan pada minit ke-71 menerusi tandukan padu Ayase Ueda, yang menewaskan penjaga gol Brazil untuk memberikan kejayaan dramatik buat pasukan tuan rumah.
Bagi Ancelotti, kekalahan itu memberi tamparan besar selepas Brazil sebelum ini menewaskan Korea Selatan 5-0 dalam satu lagi aksi persahabatan.
“Itu satu kegelapan menyeluruh pada separuh masa kedua. Dalam bola sepak bertaraf tinggi, jika kita leka, ia boleh meragut peluang Piala Dunia, Copa America, malah pingat Olimpik sekali pun.
“Ia tidak boleh diterima dan kami mesti belajar daripada kesilapan ini,” tegas kapten Brazil, Casemiro selepas perlawanan.
Casemiro, yang turut bermain bersama Guimaraes, Martinelli dan Paqueta, mengetuai barisan Brazil sarat bintang Liga Perdana Inggeris.
Beberapa pemain lain seperti Estevao (Chelsea), Matheus Cunha (Manchester United), Joelinton (Newcastle United) dan Richarlison (Tottenham Hotspur) turut dimasukkan pada babak kedua.
Ancelotti pula mengakui kekalahan itu berpunca daripada kejatuhan moral mendadak pasukannya selepas kesilapan pertama.
“Brazil tidak menunjukkan sikap yang betul untuk mengekang kebangkitan Jepun. Selepas kesilapan awal, kami hilang fokus sepenuhnya. Itulah punca sebenar,” katanya.
Sementara itu, pengendali Jepun, Hajime Moriyasu, menzahirkan rasa bangga dengan prestasi anak buahnya tetapi mengingatkan bahawa kemenangan bersejarah itu hanyalah permulaan kepada cabaran lebih besar.
“Saya mahu pemain meraikan kemenangan ini, tetapi dalam masa sama, mereka perlu sedar bahawa pasukan kuat seperti Brazil akan menilai kita dengan lebih serius selepas ini.
“Untuk menewaskan mereka dalam kejohanan rasmi, kami mesti terus maju dan berhati-hati,” ujar Moriyasu.
Kedua-dua pasukan telah pun mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.
Dalam perlawanan ini, Daichi Kamada (Crystal Palace) memulakan permainan, manakala Ao Tanaka (Leeds United) dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua.
Ringkasan AI
- JEPUN mencipta sejarah dengan menewaskan Brazil 3-2 dalam aksi persahabatan
- Brazil mendahului dengan dua gol sebelum Jepun bangkit pada babak kedua
- Takumi Minamino dan Keito Nakamura jaring gol penyamaan untuk Jepun
- Ayase Ueda menjaringkan gol kemenangan untuk Jepun
- Capaian ini dilihat sebagai tamparan besar bagi Brazil dan pengajaran penting bagi kedua-dua pasukan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
