Punca kematian Cikgu Kwan Fong masih dalam siasatan - Exco Johor

Guru wanita, Lo Kwan Fong yang ditemui meninggal dunia di kediamannya dipercayai mengalami kemurungan akibat masalah hutang dengan along.
Guru wanita, Lo Kwan Fong yang ditemui meninggal dunia di kediamannya dipercayai mengalami kemurungan akibat masalah hutang dengan along.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Punca kematian seorang guru wanita, Lo Kwan Fong yang mayatnya ditemui di kediamannya di Bandar Selesa Jaya, Skudai, Iskandar Puteri di sini masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Menurut sumber, terdapat spekulasi mengatakan bahawa guru berkenaan mengalami kemurungan akibat masalah hutang.

Bagaimanapun Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor, Aznan Tamin berkata, buat masa ini punca kematian mendiang masih dalam siasatan.

"Sebarang maklumat lanjut berkenaan kejadian akan dimaklumkan sebaik sahaja semua selesai,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, mayat wanita itu ditemui selepas jirannya mengesan bau busuk dan membuat laporan di Balai Polis Nusa Bestari pada jam 8 malam, Khamis lalu.

Menurut beliau, siasatan mendapati wanita berkenaan yang tinggal seorang diri dipercayai telah meninggal dunia lebih kurang sebulan.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh pakar forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru mendapati punca kematian adalah unascertained (penguraian lanjut),” katanya.

Mengulas lanjut, Aznan memaklumkan bahawa guru berkenaan tinggal bersendirian dan maklumat itu diperoleh daripada pihak sekolah selepas menjalankan siasatan bersama jiran terdekat.

Katanya, berdasarkan siasatan yang dibuat, mendiang juga merupakan anak tunggal dan hidup sebatang kara.

Artikel Berkaitan:

Aznan turut memaklumkan bahawa setakat ini kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah dikesan.

“Guru tersebut merupakan anak tunggal dan telah kehilangan kedua ibu bapanya pada 1 Mei 2010,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!