Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah sumbang 200 pek makanan

Mohd Faizal (kiri) ketika menyerahkan bungkusan makanan kepada Amran (dua dari kiri) dan lain-lain penguatkuasa.
Mohd Faizal (kiri) ketika menyerahkan bungkusan makanan kepada Amran (dua dari kiri) dan lain-lain penguatkuasa.
A
A
A

KUALA PILAH - Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah hari ini mengagihkan sebanyak 200 pek makanan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pasukan kesihatan dan lain-lain penguatkuasa di Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah.

Pegawai daerahnya, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, sumbangan tersebut merupakan bantuan daripada kerajaan Negeri Sembilan yang disalurkan melalui pihaknya untuk diagihkan kepada petugas yang terlibat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Ini sebagai salah satu usaha untuk membantu petugas barisan hadapan dalam melaksanakan tanggungjawab mereka sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan.

"Bermula hari ini juga, Kompleks Rakan Muda di sini dijadikan sebagai pusat agihan makanan kepada petugas berkenaan," katanya kepada pemberita selepas selesai mengagihkan pek makanan tersebut di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, SuperintendAn Amran Mohd Ghani.

Mengulas lanjut, Mohd Faizal berkata, pihaknya turut mengalu-alukan sumbangan makanan daripada orang ramai untuk diberikan kepada anggota penguatkuasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

"Sebarang maklumat lanjut boleh berhubung dengan pihak kami untuk pengurusan agihan," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Mohd Faizal mengingatkan orang ramai supaya mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

Artikel Berkaitan:

"Kita mampu memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19 sekiranya masing-masing mematuhi arahan dengan duduk di rumah selama 14 hari.

"Dalam masa sama janganlah pula kita berkongsi maklumat palsu atau tularkan sesuatu yang tidak pasti sehingga menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat," katanya.