Wujudkan balik konsep 'jaga tepi kain orang' - Ketua Polis Kelantan

Mohd Yusoff (tengah) menyampaikan sijil penghargaan semasa Perhimpunan Bulanan di IPK Kelantan, Kota Bharu pada Selasa. Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Mohd Yusoff (tengah) menyampaikan sijil penghargaan semasa Perhimpunan Bulanan di IPK Kelantan, Kota Bharu pada Selasa. Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
A
A
A

KOTA BHARU – Ketua Polis Kelantan menyarankan agar masyarakat menghidupkan kembali konsep ‘jaga tepi kain orang’ bagi menangani isu gejala sosial serta jenayah yang berlaku dalam komuniti di negeri ini.

Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, jika dahulu masyarakat boleh menerima sikap sedemikian namun kini sebaliknya.

"Kita hidup perlu ada kaedah jaga tepi kain orang, barulah ada maklumat yang boleh disampaikan kepada polis,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, ‘jaga tepi kain orang’ yang dimaksudkan ialah cakna terhadap persekitaran semasa, bukannya untuk mengumpat atau ‘membawang’.

Ujarnya, ia bertujuan bagi mengambil tahu perkembangan serta keadaan semasa rakan-rakan, jiran tetangga, dan persekitaran.

Mohd Yusoff memberitahu, jika melihat sesuatu yang pelik atau tidak baik, ia seharusnya dilaporkan.

“Terutamanya melibatkan kes rogol. Jenayah ini sekarang banyak yang melibatkan suka sama suka serta bawah umur.

“Lokasi kejadian pula ada yang berlaku di rumah lelaki mahupun perempuan. Disebabkan itu, sikap jaga tepi kain orang perlu dipraktikkan kembali oleh masyarakat supaya perkara seperti ini dapat dibendung,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!