Sila log masuk terlebih dahulu.

PPZ-MAIWP serah bantuan zakat khas RM40,000 kepada IKN

Zulkifli melihat bantuan makanan yang turut diagihkan kepada warga kerja IKN yang memerlukan.
Zulkifli melihat bantuan makanan yang turut diagihkan kepada warga kerja IKN yang memerlukan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat–Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerusi Khaira PPZ menyerahkan bantuan zakat khas sebanyak RM40,000 kepada Institut Kanser Negara (IKN) melalui Misi Musaadah Covid19.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAWIP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, bantuan itu merupakan tanggungjawab sosial korporat PPZ-MAIWP bagi bersama-sama membantu institusi kesihatan negara dalam mencegah penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang semakin membimbangkan.

Menurutnya, IKN menjalankan proses saringan kesihatan kepada semua kakitangan dan pelanggan sebagai langkah pencegahan penularan wabak tersebut.

"PPZ-MAIWP prihatin dengan situasi yang melanda negara. Bantuan disampaikan bagi membantu IKN dalam menyediakan kelengkapan dan peralatan untuk tujuan saringan dan rawatan Covid-19.

"Turut disampaikan adalah bantuan makanan yang akan diagihkan kepada warga kerja IKN yang memerlukan," katanya.

Zulkifli ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Khas #Musaadah Covid19 kepada pihak IKN di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini.
Zulkifli ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Khas #Musaadah Covid19 kepada pihak IKN di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau menggesa pembayar zakat untuk terus membayar zakat di PPZ-MAIWP melalui pautan www.zakat.com.my.

Katanya, wang zakat tersebut akan digunakan sebaik mungkin terutama dalam suasana ujian ALLAH SWT.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengucapkan terima kasih atas keprihatinan dan kecaknaan PPZ-MAIWP dalam menyertai Misi Musaadah Covid19 yang dilancarkan sejak 18 Mac lalu bagi menyahut seruan kerajaan membantu golongan memerlukan.

“Diharap usaha seperti ini dapat dilakukan ramai lagi pihak di luar sana kerana inilah masanya untuk kita membantu semua golongan yang memerlukan pada saat begitu mencabar kini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Khas #Musaadah Covid19 kepada pihak IKN di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama, Ahmad Marzuk Shaary dan Timbalan Pengarah IKN, Rafidah Bidin.