Remaja tiru video YouTube curi motosikal ditahan polis

Polis menahan remaja berkenaan bersama motosikal yang dicuri - Foto media sosial
Polis menahan remaja berkenaan bersama motosikal yang dicuri - Foto media sosial
A
A
A

THAILAND – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun ditahan polis selepas dipercayai meniru cara mencuri motosikal melalui rakaman video di YouTube semata-mata kerana mahu memiliki motosikal sendiri.

Menurut laporan Workpoint News, kejadian berlaku di daerah Mueang Samut Prakan apabila pasukan penyiasat menahan suspek bersama motosikal yang dicurinya.

Ketua Balai Polis Mueang Samut Prakan, Superintenden Chakkrich Srerojanakul berkata, penahanan dibuat hasil siasatan dan jejak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa lokasi.

Siasatan awal mendapati, mangsa telah membuat laporan pada 9 Oktober lalu selepas motosikal jenis Yamaha Mio berwarna merah jambu miliknya yang diletakkan di hadapan asrama hilang ketika dia bangun pada keesokan paginya.

Rakaman CCTV menunjukkan pada malam 8 Oktober, seorang lelaki menghampiri kawasan parkir sebelum menendang bahagian kunci motosikal sehingga terbuka dan menolak motosikal itu keluar dengan pantas.

Hasil risikan lanjut, polis berjaya mengesan dan menahan remaja terbabit bersama motosikal yang dicurinya.

Suspek yang dikenali sebagai 'Boy' mengaku mencuri motosikal berkenaan.

Dia memberitahu polis bahawa selepas menamatkan pengajian peringkat menengah rendah, dirinya tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Berasal daripada keluarga miskin juga menyebabkan Boy tidak mampu membeli motosikal sendiri.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, dia sering meminjam motosikal rakannya untuk digunakan dan tertarik untuk mencuba selepas menonton satu video di YouTube yang mengajar cara mencuri motosikal.

Pada malam kejadian, dia keluar mencari sasaran sebelum menemui motosikal mangsa yang diletakkan di hadapan asrama lalu menendang bahagian kunci motosikal sehingga terbuka dan menolaknya pulang ke rumah.

Dia turut menukar set kunci motosikal dengan yang baharu sebelum sempat ditunggang namun polis tiba dan menahannya.

Polis kini mendakwa remaja berkenaan atas kesalahan mencuri harta pada waktu malam dan akan menyerahkannya kepada Mahkamah Kanak-Kanak dan Keluarga untuk tindakan lanjut.

Ringkasan AI

  • Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun ditahan polis di Thailand kerana meniru cara mencuri motosikal dari YouTube
  • Pasukan penyiasat menahan suspek bersama motosikal dicuri di daerah Mueang Samut Prakan
  • Penahanan dibuat hasil siasatan dan jejak rakaman CCTV
  • Remaja tersebut mengaku mencuri motosikal kerana berasal dari keluarga miskin dan tidak mampu membeli sendiri
  • Polis mendakwa remaja itu atas kesalahan mencuri harta pada waktu malam dan akan menyerahkannya kepada Mahkamah Kanak-Kanak dan Keluarga

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!