Suspek libas remaja perempuan dengan parang ketika tunggang motosikal ditahan

MELAKA – Polis menahan seorang lelaki dalam tempoh kurang 24 jam selepas disyaki melibas parang hingga mencederakan seorang remaja perempuan ketika membonceng motosikal.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian menimpa mangsa berusia 18 tahun itu berlaku kira-kira jam 4.45 petang ketika mangsa bersama kakak iparnya dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu 9, Tangga Batu, Tanjung Kling.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa tidak mengenali lelaki yang menyerangnya malah memaklumkan tidak mempunyai musuh atau sebarang perselisihan faham dengan mana-mana individu.
"Ya kita dah tangkap suspek," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Jelas beliau, mangsa yang kini dirawat di Zon Kuning Hospital Melaka turut memaklumkan baru tiga minggu berpindah dari Tangkak, Johor ke Melaka untuk bekerja sebagai operator kilang.
Ujar beliau, sebelum kejadian, mangsa membonceng motosikal ditunggang kakak iparnya berusia 21 tahun sebelum tiba-tiba berasa sakit di bahagian belakang dan meminta untuk berhenti di tepi jalan.
“Kakak ipar mangsa kemudian ternampak sebuah motosikal jenis Yamaha LC V8 berwarna biru gelap ditunggang seorang lelaki memakai jaket warna gelap dan topi keledar jenis MS warna biru memecut laju meninggalkan lokasi," katanya lagi.
Hasil tindakan pantas polis, suspek berjaya ditahan dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian dan dijangka direman pagi ini bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau alat berbahaya.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan seorang remaja perempuan cedera parah selepas dipercayai ditikam oleh individu tidak dikenali ketika menunggang motosikal di Solok Tangga Batu, Tanjung Kling di sini pada petang Isnin.
Dalam kejadian itu mangsa yang berpakaian hitam menunggang motosikal didatangi suspek yang menaiki sebuah motosikal.
Ringkasan AI
- Polis menahan seorang lelaki yang didakwa melibas parang ke atas remaja perempuan dalam kurang 24 jam
- Kejadian ini berlaku ketika mangsa bersama kakak iparnya sedang pulang ke rumah
- Mangsa yang berusia 18 tahun tidak mengenali pelaku dan tidak mempunyai musuh
- Mangsa kini dirawat di Zon Kuning Hospital Melaka setelah berpindah dari Tangkak untuk bekerja sebagai operator kilang
- Suspek ditangkap polis dan kes disiasat dibawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

