PH di Sabah: Pengimbang antara kepentingan, kestabilan

PH berpeluang muncul sebagai pengimbang strategik antara GRS dan BN demi reformasi dan kestabilan nasional. - Foto fail Bernama
PH berpeluang muncul sebagai pengimbang strategik antara GRS dan BN demi reformasi dan kestabilan nasional. - Foto fail Bernama
A
A
A

POLITIK Sabah sentiasa menjadi cerminan unik kepada dinamik kuasa di Malaysia - tidak hitam putih tetapi berlapis dengan sejarah, personaliti dan kepentingan tempatan. Sejak sekian lama, politik negeri ini tidak pernah tunduk sepenuhnya pada garis sempadan parti nasional; ia bernafas dengan jiwa sendiri - penuh diplomasi, kompromi dan kebijaksanaan tempatan.

Selepas PRU15, landskap ini menjadi lebih kompleks apabila Pakatan Harapan (PH), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) terpaksa menavigasi hubungan yang ganjil: bersama di Pusat tetapi bertentangan di negeri. Gabungan di Putrajaya tidak serta-merta menjamin keserasian di Kota Kinabalu. Politik Sabah seperti biasa, punya logiknya sendiri.

Keretakan dan dilema kuasa

Hubungan antara GRS dan BN kini hampir mustahil dipulihkan dalam bentuk asal. Konflik yang berpunca daripada isu pembahagian kuasa dan kerusi pada awal 2023 masih membekas. Di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor, GRS memilih untuk membentuk kerajaan negeri tanpa UMNO - suatu langkah yang menandakan peralihan kepada politik tempatan yang lebih berautonomi dan pragmatik.

Sementara itu, BN khususnya UMNO Sabah masih mencari ruang pengaruh setelah kehilangan dominasi tradisionalnya. Dalam suasana ini, PH muncul sebagai pihak ketiga yang unik; rakan rasmi dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat tetapi tanpa akar yang kuat di peringkat negeri.

Titik temu dan ruang kerjasama

Jalan tengah yang paling rasional ialah menjadikan pembangunan dan autonomi Sabah sebagai titik temu antara PH, GRS dan BN. Ketiga-tiganya boleh beranjak daripada politik ‘siapa lawan siapa’ kepada politik ‘siapa mampu bekerjasama demi rakyat’.

Tiga elemen asas boleh menjadi kerangka baharu kerjasama strategik:

1. Pelaksanaan menyeluruh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk agihan hasil, kuasa pentadbiran dan hak negeri terhadap sumber asli.

Artikel Berkaitan:

2. Reformasi tadbir urus negeri dengan menamatkan budaya politik projek dan menggantikannya dengan dasar pembangunan mampan yang berpaksikan komuniti.

3. Agenda rakyat - isu air, elektrik, jalan luar bandar dan pendidikan teknikal (TVET Sabah) mesti menjadi fokus merentas parti, bukan medan retorik pilihan raya.

Dalam konteks ini, PH boleh memposisikan diri bukan sekadar pemain politik tetapi broker dasar - jambatan antara Putrajaya dan rakyat Sabah.

Di warung-warung di Penampang atau gerai kopi di Sandakan, isu MA63 kini bukan lagi wacana elit tetapi perbualan rakyat biasa yang menuntut maruah negeri mereka dikembalikan. Di sinilah PH boleh menonjolkan politik yang mendengar, bukan sekadar memerintah.

Pilihan pengundi PH dalam pertembungan BN–GRS

Apabila PRN ke-17 nanti memperlihatkan BN dan GRS saling berdepan, pengundi PH akan berada dalam dilema tersendiri - siapa yang wajar disokong?

Secara strategik, pengundi PH cenderung memilih blok yang paling serasi dengan agenda reformasi dan kestabilan Pusat. Jika GRS kekal dalam orbit Kerajaan Perpaduan dan menyokong dasar Putrajaya, maka undi kepada GRS boleh dianggap pilihan rasional demi kesinambungan pembangunan.

Namun, sekiranya BN menampilkan calon progresif dan lebih dekat dengan naratif Madani maka PH juga tidak wajar menutup ruang kerjasama. Pendek kata, pengundi PH perlu menilai calon bukan berdasarkan lambang parti semata-mata tetapi keperibadian, kapasiti dan keserasian dengan semangat reformasi.

PH tidak boleh menjadi penonton kepada pertarungan dua gergasi tempatan. Ia perlu menentukan garis merah politiknya - siapa yang benar-benar jujur terhadap agenda reformasi dan pembangunan rakyat, itulah sekutu semula jadi.

PH sebagai pengimbang dinamik

Pendekatan selective contestation wajar dijadikan strategi utama; PH fokus bertanding di kawasan bandar dan separa bandar seperti Kota Kinabalu, Penampang, Sandakan dan Tawau - kawasan yang lebih selari dengan agenda reformasi dan politik nilai.

Sementara di luar bandar, PH boleh menyokong calon yang paling komited kepada pembangunan inklusif, walaupun dari parti lain.

Langkah ini bukan tanda kelemahan tetapi kebijaksanaan politik. Dalam politik Sabah, kekuatan tidak selalu datang daripada jumlah kerusi tetapi daripada kemampuan mempengaruhi arus dasar dan membina kepercayaan rentas suku, agama dan wilayah.

Politik Sabah memerlukan formula baharu - bukan siapa lebih kuat tetapi siapa mampu menyatukan kekuatan yang berbeza demi rakyat.

Dalam persimpangan ini, PH punya peluang besar untuk muncul sebagai pengimbang rasional antara kepentingan tempatan dan kestabilan nasional.

Di bumi di mana sungai dan laut bertemu, Sabah memerlukan politik yang tidak sekadar mencari kuasa tetapi mencari makna dalam kuasa itu sendiri.

PH boleh menjadi jambatan itu - bukan sekadar rakan dalam kerajaan pusat tetapi penyambung suara rakyat Sabah kepada semangat Malaysia Madani.

* Suwadi Guliling ialah Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!