MBMB kecualikan dua bulan bayaran sewa gerai

 Mansor Sudin
Mansor Sudin
A
A
A

MELAKA TENGAH - Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) memutuskan untuk memberikan pengecualian bayaran sewa bulanan gerai di bawah kendalian pihak berkuasa tempatan itu selama dua bulan.

Datuk Bandar Melaka, Datuk Mansor Sudin berkata, pengecualian sewa bermula April dan Mei depan akan melibatkan seramai 1,326 penyewa dengan nilai sewaan berjumlah RM766,000.

Menurutnya, langkah itu diambil sebagai keprihatinan kerajaan dalam meringankan beban rakyat yang terkesan susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Mereka turut diberikan pengecualian bayaran lesen selama setahun melibatkan kira-kira RM617,000 yang membawa kepada jumlah keseluruhan anggaran berjumlah RM1.38 juta," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Mansor berkata, seluruh warga bandar raya mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang telah dikeluarkan dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga terutama dalam aspek kebersihan diri dan keluarga.

"Apa yang saya harapkan semoga rangkaian jangkitan wabak ini dapat dicegah dan dihentikan dalam kadar segera," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mansor berkata, MBMB mewujudkan bilik gerakan atau Comman Centre Covid-19 (CCC) bermula semalam, sepanjang tempoh arahan kawalan tersebut.

Menurutnya, CCC beroperasi dari jam 8 pagi hingga 12 tengah malam itu diwujudkan bertujuan melancarkan dan memudahkan penyelarasan pemantauan kerja asas perbandaran ketika tenaga anggota MBMB diminimumkan bagi mengekang penularan wabak Covid19.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini, seramai 119 anggota MBMB telah ditugaskan setiap hari secara bergilir di lapangan dan di pejabat pentadbiran antaranya bagi melakukan kerja berkeperluan seperti pemantauan pematuhan operasi perniagaan, penguatkuasaan ketidakberadaan di tempat awam, pemantauan perkhidmatan penyelenggaraan kebersihan dan keselamatan awam.

"Ini bagi memastikan Bandaraya Melaka Bersejarah berada dalam keadaan terkawal sepanjang tempoh PKP dilaksanakan," katanya.

CCC MBMB boleh dihubungi di talian 06-2859704, faksimili 06-2324343 atau melalui e-mel di covid19@mbmb.gov.my atau covid19.mbmb@gmail.com.