MyKad dan cabaran menjaga identiti digital rakyat

KDN memberi jaminan menyelesaikan isu teknikal yang menjejaskan padanan data penerima bantuan kerajaan. Gambar hiasan
KDN memberi jaminan menyelesaikan isu teknikal yang menjejaskan padanan data penerima bantuan kerajaan. Gambar hiasan
A
A
A

MYKAD, simbol identiti setiap warganegara Malaysia kembali menjadi perhatian selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan menyelesaikan isu teknikal yang menjejaskan padanan data penerima bantuan kerajaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, tiada rakyat yang layak akan teraniaya akibat ralat sistem atau kegagalan pengesahan maklumat MyKad.

Namun, di sebalik jaminan itu, keresahan rakyat masih ketara susulan ada penerima bantuan dilaporkan tercicir kerana data mereka tidak padan dalam sistem, menjadikan isu ini lebih daripada sekadar masalah teknikal.

MyKad hari ini bukan sekadar kad pengenalan sebaliknya sebagai pintu utama kepada pelbagai urusan antaranya bantuan, rawatan, pekerjaan dan transaksi kewangan, jika sistemnya gagal bermakna tergendala urusan hidup seharian rakyat.

Apabila identiti gagal disahkan, hak seseorang boleh dinafikan. Anda bayangkan penerima bantuan yang layak tetapi ditolak kerana sistem tersilap membaca data. Soalnya, siapa yang harus bertanggungjawab?

Janji kerajaan wajar disambut baik, tetapi perlu disusuli tindakan segera dan garis masa jelas kerana tanpa kejelasan, jaminan hanya tinggal kata-kata.

Cabaran sebenar terletak pada penyelarasan antara agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), KDN dan Kementerian Kewangan yang mana integrasi data yang lemah boleh membuka ruang kepada kesilapan, malah penyalahgunaan identiti.

Risiko ini bukan kecil, dalam konteks keselamatan, MyKad yang dieksploitasi boleh disalahguna untuk jenayah rentas sempadan atau penyelewengan bantuan awam.

Lebih malang, rakyat sering tidak dimaklumkan apabila ralat berlaku dan apabila proses semakan pula lambat, menjadikan sistem dilihat tidak mesra pengguna serta menambah tekanan kepada mereka yang bergantung pada bantuan.

Artikel Berkaitan:

Isu MyKad sebenarnya mencerminkan kesiapsiagaan negara dalam melindungi data peribadi, keutuhan sistem digital perlu diberi keutamaan sama seperti keselamatan fizikal negara.

Kerajaan perlu melakukan audit berkala, menambah baik keselamatan siber dan mendidik rakyat tentang perlindungan identiti digital mereka kerana ia bukan sekadar soal teknologi, tetapi tanggungjawab bersama.

Krisis MyKad menguji kecekapan pentadbiran dan kepercayaan rakyat. Jaminan telah diberi, kini masa untuk membuktikan bahawa setiap identiti warganegara benar-benar dijaga, bukan sekadar dijanjikan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!