Apa yang dilihat belum tentu benar

DAHULU, seseorang perlu mempunyai kemahiran menulis, mengedit gambar atau menyunting video untuk menghasilkan berita palsu sebelum menyebarkannya kepada orang ramai
Kini, kecanggihan kecerdasan buatan (AI) menjadikan semua itu jauh lebih mudah. Hanya dengan beberapa arahan, AI mampu menghasilkan gambar individu yang tidak pernah berlaku, meniru suara seseorang atau mencipta video seolah-olah tokoh tertentu benar-benar mengeluarkan kenyataan. Lebih membimbangkan, kandungan palsu itu semakin sukar dibezakan daripada kandungan sebenar.
Bagi dunia kewartawanan, perkembangan ini membawa cabaran yang jauh lebih besar. Wartawan kini bukan sahaja perlu menyemak fakta, sumber dan petikan, tetapi turut perlu mempersoalkan sama ada bahan audio, video atau gambar yang diterima itu telah dimanipulasi.
Keadaan menjadi lebih rumit apabila kandungan palsu tersebar lebih pantas berbanding proses pengesahan berita. Sementelah dalam perlumbaan menjadi agensi pertama melaporkan sesuatu berita, wartawan berdepan cabaran untuk mengimbangi tuntutan kepantasan dengan keperluan memastikan setiap fakta benar-benar disahkan.
Sebuah video palsu boleh menjadi tular dalam beberapa minit, sedangkan wartawan memerlukan masa untuk mendapatkan kenyataan pihak terbabit, menyemak sumber asal, mendapatkan rakaman penuh dan mengesahkan konteks.
Lebih membimbangkan, AI juga melahirkan fenomena baharu iaitu masyarakat mula meragui kandungan yang sebenarnya benar.
Maklumat palsu
Jika setiap gambar atau video boleh dianggap sebagai hasil AI, pihak yang menyebarkan maklumat palsu boleh menggunakan alasan bahawa kandungan sebenar itu juga telah dimanipulasi.
Dalam keadaan ini, nilai utama kewartawanan bukan lagi siapa paling pantas menyiarkan sesuatu berita, tetapi siapa paling dipercayai untuk menentukan apa yang benar.
Sebab itu wartawan perlu kembali kepada asas kewartawanan iaitu pengesahan sumber, semakan silang, mendapatkan respons pihak berkaitan dan tidak bergantung kepada kandungan media sosial sebagai sumber tunggal.
AI juga tidak semestinya musuh kepada kewartawanan. Teknologi itu boleh membantu membuat transkripsi, menganalisis dokumen, mencari corak dan mempercepatkan kerja penyelidikan. Namun, keputusan editorial dan pengesahan fakta tetap memerlukan pertimbangan manusia.
Seperti yang ditegaskan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, AI boleh membantu kecekapan bilik berita tetapi tidak sepatutnya menggantikan pertimbangan kewartawanan. Maka dalam era AI, kepercayaan menjadi aset paling penting sesebuah organisasi berita.
Dapat perhatian
Pembaca mungkin boleh mendapatkan maklumat daripada ribuan sumber dalam telefon mereka, tetapi tetap memerlukan media bagi membezakan antara apa yang benar, dimanipulasi dan sengaja direka untuk memperdayakan.
Dalam keadaan masyarakat menerima sebahagian besar maklumat menerusi media sosial, kandungan yang mencetuskan emosi lazimnya lebih mudah mendapat perhatian berbanding fakta yang memerlukan masa untuk disemak. Lebih serius, teknologi itu berpotensi digunakan untuk mempengaruhi pandangan awam terutama ketika pilihan raya, krisis atau isu yang melibatkan tokoh politik dan institusi.
Ini menjadikan cabaran AI bukan lagi sekadar soal teknologi, sebaliknya menyentuh soal demokrasi, keselamatan dan kepercayaan masyarakat.
Cabaran terbesar sebenarnya bukan apabila AI mampu menghasilkan kandungan yang kelihatan benar, tetapi masyarakat sudah tidak lagi tahu apa yang boleh dipercayai.
Jika masyarakat gagal membina budaya menyemak sebelum berkongsi, AI berpotensi menjadikan berita palsu bukan sekadar lebih pantas tersebar, tetapi jauh lebih sukar untuk dihentikan.
Pada akhirnya, teknologi mungkin semakin pintar, tetapi kemampuan manusia membezakan kebenaran daripada manipulasi tidak boleh dibiarkan ketinggalan.
*Diana Azis ialah wartawan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

